PETALING JAYA – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah berangkat ke Turkiye tengah malam tadi bagi melihat sendiri kawasan bencana gempa bumi sekitar Gaziantep.
Menerusi perkongsian di laman Facebook Anwar, lawatan tersebut turut disertai oleh Menteri Luar Datuk Zambry Abd Kadir, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Sabah, Sarawak dan Tugas-Tugas Khas), Datuk Armizan Mohd Ali dan delegasi Malaysia.
Anwar berkata, selain melawat kawasan bencana, beliau juga akan bertemu dengan Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) yang ditugaskan membantu operasi carilamat mangsa gempa bumi.
“Saya percaya, kumpulan SMART kita berkemampuan dan mempunyai semangat jati diri yang tinggi seperti yang ditunjukkan sebelum ini hingga mampu membawa keluar mangsa yang masih hidup dan terselamat dalam bencana tersebut,” tulisnya.
Mengulas lanjut, Anwar berkata, sejurus lawatan itu beliau, bersama deligasi juga akan ke Ankara bagi menemui rakan sejawatnya, Presiden Turkiye Recep Tayyip Erdogan.
Jelas beliau, pertemuan itu bagi menunjukkan sokongan moral kepada negara yang dilanda gempa bumi itu awal minggu lalu.
“Saya memohon seluruh rakyat jelata agar mendoakan perjalanan kami dan dipermudahkan urusan disana hendaknya,” katanya. – KOSMO! ONLINE