PETALING JAYA – Selepas bekas Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar secara rasmi mengumumkan penyertaan beliau dalam stesen radio Hot FM, semalam, pagi ini ramai yang ‘terpaksa’ bangun awal dari kebiasaan semata-mata untuk mendengar suara beliau di radio.
Difahamkan, gandingan beliau bersama Johan dan AG di konti Hot FM selama dua minggu adalah bagi menggantikan penyampai Fara Fauzana yang sedang mengerjakan umrah.
Tinjauan Kosmo! di siaran langsung YouTube turut mendapati ada juga dalam kalangan mereka yang tidak pernah mendengar siaran radio tersebut, namun berbeza pula hari ini demi figura sasa dan terkenal dengan panggilan KJ itu.
“Dah berapa tahun tak dengar radio hari ni pagi-pagi dah dengar radio demi KJ,” ujar Hayatul Muna.
“Tak pernah bangun pagi-pagi ni terus dengar Hot FM, rating naik lepas ni ada KJ,” kongsi Nur Idura.
“Pertama kali dengar live Hot FM segigih ni semata-mata tentang KJ,” kata Haniza Hassan pula.
Menerusi satu klip video di laman Facebook, semalam, Khairy Jamaluddin berkata hari ini 15 Februari adalah hari pertama beliau bergelar penyampai di radio tersebut. – KOSMO! ONLINE