fbpx

Razie ledak lima gol lagi buat kali kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
RAZIE berjaya menjaringkan lima gol dalam kemenangan 7-0 Maybank ke atas Young Tigers di Stadium Hoki Nasional sebentar tadi.

KUALA LUMPUR – Pakar flick skuad hoki kebangsaan, Muhammad Razie Abd. Rahim sememangnya berada dalam kelas tersendiri apabila meledak 10 gol daripada dua perlawanan Liga Hoki Malaysia (MHL) 2023.

Terbaharu, bintang Speedy Tigers itu meledak lima gol, kesemuanya menerusi pukulan sudut penalti, ketika membantu Maybank membelasah Young Tigers 7-0 di Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil sebentar tadi.

Ia adalah perlawanan kedua berturut-turut Razie, 36, berjaya menjaringkan lima gol selepas turut melakukannya ketika menewaskan Angkatan Tentera Malaysia (ATM) 7-0 pada Sabtu lalu.

Secara keseluruhan, Razie sudah menjaringkan 11 gol daripada tiga perlawanan selepas membuka akaun jaringannya dengan satu gol sewaktu menang 10-0 ke atas TNB Thunderbolts dalam aksi pembukaan sebelum ini.

“Alhamdulillah peratusan pukulan sudut penalti saya agak tinggi dalam dua aksi terakhir ini kerana kebanyakan gol saya melalui pukulan sudut penalti.

“Kredit harus diberikan kepada semua pemain Maybank kerana tanpa mereka, saya tak akan dapat menjaringkan gol. Kejayaan ini adalah kejayaan buat pasukan,” kata Razie kepada Kosmo! selepas tamat perlawanan sebentar tadi.

Selain lima gol Razie pada minit ke-35, 45, 50, 54 dan 58, dua lagi jaringan Maybank dihasilkan oleh Shahmie Irfan Suhaimi (m-20) dan Muhajir Abdu Rauf (m-24).

Razie pastinya terus menjadi sandaran skuad bimbingan Azrul Effendy Bistamam itu apabila bertemu juara Piala Sumbangsih musim ini, Pasukan Hoki Terengganu (THT) untuk aksi liga seterusnya di Kuala Terengganu pada Khamis ini.

“Bukan senang untuk konsisten dalam setiap perlawanan tetapi saya anggap ini sebagai persediaan sebelum bertemu THT. Saya pun masih mengkaji dan analisis setiap lawan kami.

“Namun, saya percaya Maybank akan memberi cabaran yang sengit kepada THT dan satu lagi gergasi hoki tanah air, TNB dalam saingan liga musim ini,” jelas Razie.

Dalam pada itu, THT terpaksa menunggu sehingga lewat permainan untuk menewaskan UiTM HA-KPT 2-1 menerusi gol-gol daripada Jang Jonghyun dan Shello Silverius.

Dua lagi aksi yang berlangsung hari ini menyaksikan TNB Thunderbolts seri 1-1 dengan ATM, manakala TNB menang besar 8-3 ke atas Nurinsafi Sporting. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI