Oleh NOR SHAFAWATI YUP
SEREMBAN – Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengumumkan pertukaran jawatan dua Ketua Polis Daerah di Negeri Sembilan berkuat kuasa 23 November depan.
Ketua Komunikasi Korporat PDRM, Urus Setia Ketua Polis Negara (KPN), Datuk Asmawati Ahmad dalam satu kenyataan memaklumkan, pertukaran itu melibatkan Ketua Polis Daerah Nilai, Superintendan Mohd. Nor Marzukee Besar yang bertukar ke Supt Pengajian Pengurusan Bencana, Pusat Pengajian Sains Pengurusan Krisis dan Bencana, Maktab PDRM.
“Ketua Unit SiasatanTerkelas, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Superitendan Mohd. Fazley Ab. Rahman dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Nilai,” katanya.
Sementara itu, Superintendan Hoo Chang Hook dari Supt Sekretriat Tetap Aseanapol Urus Setia Pejabat KPN, Bukit Aman pula dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Jempol.
Sebelum ini, jawatan Ketua Polis Daerah Jempol dipangku oleh timbalannya, Deputi Superintendan Mohd. Hafiz Muhammad Nor selepas bekas Ketua Polis Daerah Jempol, Mohd. Khairiel Mohd Arif dinaikkan pangkat daripada Superintenden kepada Asisten Komisioner.
Mohd Khairiel kini bertugas sebagai Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (Risikan/Operasi) Ibu Pejabat Kontinjen Polis Pulau Pinang. – K! ONLINE