fbpx

Wanita lemas ditemui terapung di Labohan Dagang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Pasukan bomba ketika membawa naik mayat mangsa dari sebuah perangkap sampah di Labohan Dagang, petang tadi.

PETALING JAYA – Seorang wanita yang dipercayai lemas sejak Ahad lalu di Sungai Dengkil, ditemui terapung di sebuah perangkap sampah di Labohan Dagang, Banting petang tadi.

Pengarah Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Selangor, Datuk Norazam Khamis berkata, mangsa dikenali sebagai Wong Fong Fah, 57, itu ditemui oleh orang awam kira-kira pukul 5.13 petang tadi.

“Pada hari ini operasi mencari dan menyelamat (SAR) bermula pada pukul 8.30 pagi dengan menggunakan tiga bot, anjing pengesan (dua) bersama anggota Angkatan Pertahanan Awam.

“Pencarian dilakukan kaedah ‘searching surface’ di kawasan ‘hotspot’ sungai sehingga satu kilometer mangsa dilaporkan jatuh,” katanya dalam kenyataan di sini malam ini.

Katanya, pihak bomba bertindak mengeluarkan mayat mangsa di lokasi tersebut dan pengesahan oleh waris telah dijalankan.

“Mayat mangsa telah diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan selanjutnya, SAR tamat pada pukul 7 malam tadi,” katanya.

Media sebelum ini melaporkan, seorang wanita dikatakan terjun daripada sebuah jambatan di Dengkil sebelum dihanyutkan arus deras.

SAR berkenaan turut disertai anggota Balai Bomba dan Penyelamat Dengkil, Balai Bomba dan Penyelamat KLIA, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Sepang dan Jabatan Pertahanan Awam (APM) Sepang. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI