PUTRAJAYA – Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) menegaskan wujudnya proses pengintegrasian pangkalan data sistem antara platform mySIKAP JPJ dengan pihak berkuasa lain termasuk Polis Diraja Malaysia.
Ketua Pengarah JPJ, Datuk Zailani Hashim berkata, pengintegrasian pangkalan data sistem itu turut melibatkan pihak berkuasa tempatan (PBT) dan dilaksanakan sejak tahun 2007.
“JPJ ingin menegaskan bahawa projek pendigitalan ini merupakan projek rintis dan akan memastikan usaha penambahbaikan secara berterusan menerusi inisiatif pendigitalan.
“Ia demi memastikan keberkesanannya agar sentiasa memberikan manfaat yang signifikan kepada negara dan kepada seluruh masyarakat madani,” katanya menerusi kenyataan hari ini.
Terdahulu, Pengarah Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik PDRM menyambut baik Projek Rintis Lesen Kenderaan Motor Digital (e-LKM) dan Lesen Memandu Malaysia Digital (e-LMM) JPJ.
Sambutan baik itu diberikan menerusi kenyataan beliau iaitu ‘JSPT melalui peralatan MCOPS boleh melakukan semakan integrasi dengan sistem mySIKAP JPJ atau paparan kod QR untuk semakan nombor kenderaan dan nombor kad pengenalan’. – KOSMO! ONLINE