RAUB – Ketua Polis Balai Kuala Bera, Sarjan Mejar Mohd. Anuar Saian,58, meninggal dunia ketika menyertai Kejohanan Sepak Takraw Piala Ketua Polis Pahang 2023 di Raub hari ini.
Dalam kejadian kira-kira pukul 12.55 tengah hari itu, mangsa dikatakan berhenti berehat di tepi gelanggang selepas perlawanan berpasukan acara veteran di Kompleks Rakan Muda Dong, Raub.
Ketua Polis Daerah Bera, Superintendan Zulkiflee Nazir, berkata, mangsa kemudiannya rebah dan tidak sedarkan diri menyebabkan ahli pasukannya bergegas memaklumkan kepada pihak penganjur.
“Petugas kesihatan yang berada di lokasi cuba melakukan rawatan Cardiopulmonary Resuscitation (CPR), namun mangsa masih tidak sedarkan diri.
“Mangsa telah dihantar ke Klinik Kesihatan Dong dengan ambulans dan disahkan meninggalkan dunia pada pukul 2.10 petang disyaki akibat serangan jantung,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.
Allahyarham meninggalkan seorang isteri dan tiga orang anak dikebumikan tanah perkuburan Bukit Keledang Kampung Paya Panjang petang ini. – KOSMO! ONLINE