fbpx

Tiga penduduk Pahang kena kanser setiap hari

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
WAN ABDUL RAHIM (kiri) melawat pameran berkaitan penyakit kanser prostat pada program saringan kanser prostat 2023 peringkat negeri Pahang di Hospital Bera di Bera semalam.

BERA – Penyakit kanser di ne­geri ini berada pada tahap membimbangkan apabila purata tiga individu dikesan mengidap pe­nyakit berbahaya itu setiap hari.

Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Bahagian Perubatan), Datuk Dr. Wan Abdul Rahim Wan Muhammad berkata, dianggarkan 1,000 pesakit kanser direkodkan setiap tahun dengan 60 peratus daripadanya dikesan menghidap penyakit kanser tahap tiga dan tahap empat.

Katanya, ini termasuk kira-kira lapan daripada 10,000 individu lelaki berusia 50 tahun ke atas yang disahkan menghidap penyakit kanser prostat.

“Sebab itu pentingnya pemeriksaan awal kepada orang lelaki terutamanya yang sudah berusia 50 tahun ke atas, tidak perlu tunggu sakit, tetapi pergi sahaja ke klinik kesihatan berdekatan.

“Hanya beberapa minit sahaja untuk buat pemeriksaan air kencing, sekiranya ada sesuatu dikesan menerusi keputusan ujian itu, barulah individu terbabit perlu menjalani pemeriksaan seterusnya,” katanya pada Program Saringan Kanser Prostat 2023 Peringkat Negeri Pahang, di Hospital Bera di sini semalam.

Dalam pada itu kata Wan Abdul Rahim, kempen kesedaran penyakit prostat peringkat ne­geri Pahang merupakan aktiviti tahunan Jabatan Urologi Hospital Tengku Ampuan Afzan (HTAA), Kuantan yang dibuat sejak 2010.

Beliau menjelaskan dalam tempoh tersebut kempen ber­kenaan telah dilaksanakan di 10 fasiliti di beberapa daerah de­ngan Bera menjadi destinasi ke-11.

Jelasnya menerusi kempen berterusan ini lebih 2,000 peserta telah disaring dengan hampir 50 peratus dikesan mempunyai penyakit berkait kelenjar prostat dan sebilangannya dikesan menghidapi penyakit kanser prostat peringkat awal.

“Kumpulan sasaran bagi prog­ram ini adalah golongan lelaki berumur 50 tahun dan ke atas ada simptom ken­cing (lower urinary tract symptoms) serta lelaki berumur 40 tahun yang ada sejarah keluarga sakit itu,” jelasnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI