KUALA LUMPUR – Arts On The Move (AOTM) bakal mewarnai rangkaian rel selama enam bulan bermula hari ini di Stesen MRT Pasar Seni, Kuala Lumpur.
Menteri Pengangkutan, Anthony Loke Siew Fook berkata, Pasar Seni merupakan permata dalam sistem rangkaian rel kerana menjadi tumpuan untuk menerokai sejarah, warisan, budaya dan makanan.
“Dengan adanya AOTM, rangkaian rel ini akan menjadi lebih daripada sebuah tempat di mana anda menunggu untuk kereta api yang seterusnya.
“Ia boleh menjadi sebuah tempat di mana kita boleh membantu mengurangkan lagi gaya hidup monotoni yang dikaitkan oleh orang ramai dengan kehidupan bandar atau bekerja di bandar.
“Seterusnya, peluang bagi mewujudkan ruang untuk orang ramai membayangkan gaya hidup bandar yang lebih rancak dan mampan sambil memastikan ia saksama dan mudah diakses secara sosial,” katanya dalam majlis pelancaran AOTM, di Stesen MRT Pasar Seni, petang tadi.
AOTM ditubuhkan pada 2016 dengan matlamat untuk menghubungkan budaya melalui aktiviti seni dan budaya seperti persembahan secara langsung pameran dan teras sejarah bandar yang kaya dengan aset budaya ketara dan tidak ketara kepada sistem rangkaian rel.
“Ia dilaksanakan dengan kerjasama Prasarana di Stesen LRT Masjid Jamek dengan sokongan Yayasan Hasanah untuk tempoh dua tahun dan telah menghasilkan pengaturcaraan seni dan budaya yang pelbagai yang menarik minat khalayak dan pelawat Malaysia yang melintasi ruang tersebut,” ujarnya.
Dalam pada itu, Pengarah Urusan Think City, Hamdan Abdul Majeed, berkata, pihaknya berharap dapat memberi tumpuan kepada pengalaman budaya kolektif persekitaran Stesen MRT Pasar Seni dengan menerokai ruang yang dilalui setiap hari serta memberi nafas baharu kepada kawasan-kawasan sekitarnya.
“Ini merupakan antara stesen utama di Pusat Bandar Kuala Lumpur dan diharapkan kita dapat memperluas AOTM kepada stesen transit lain. Sambutan seni sebagai ruang alternatif telah berjaya dilaksanakan di bandar lain seperti Singapura, London dan New York.
“Usaha akan berterusan untuk meremajakan Kuala Lumpur untuk menjadi sebuah daerah kreatif dan budaya melalui jaringan aset warisan, tarikan budaya, stesen transit, taman hijau, dan perusahaan kreatif.
“Ini dapat mewujudkan destinasi dan tarikan kepada pengunjung di samping meningkatkan
lagi ruang awam untuk menyediakan persekitaran yang lebih selesa untuk rakyat Malaysia serta
para pelancong menerokai, bekerja, dan berulang-alik dalam bandar,” tambah Hamdan.
Selain menambah baik pengalaman penumpang melalui integrasi seni dan budaya tempatan
Malaysia ke dalam stesen, penggiat seni dan budaya dapat menzahirkan kreativiti dan bakat sambil memainkan peranan aktif dalam memulihkan bandar melalui warisannya.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Yayasan Sime Darby, Yatela Zainal Abidin berkata, sokongan pihaknya untuk AOTM adalah bertujuan untuk menjadikan seni lebih mudah diakses
oleh orang ramai sambil menyumbang kepada membina peluang pekerjaan untuk artis tempatan berbakat berkembang maju dalam industri seni.
“Dengan kerjasama pelbagai pihak berkepentingan yang sehaluan, kami berbangga kerana dapat menyumbang kepada blok pembinaan daerah kreatif dan budaya yang kian maju di Kuala Lumpur. Kami berharap dengan inisiatif seni kolaboratif terbuka untuk semua,” ujarnya. -KOSMO! ONLINE.