GENOA, Itali – Ketua Jurulatih Inter Milan, Simone Inzaghi seakan-akan sudah mengangkat ‘bendera putih’ terhadap peluang mereka untuk merangkul kejuaraan Serie A musim ini.
Ia susulan keputusan Inter yang sekadar seri tanpa jaringan dengan Sampdoria pada aksi Serie A di Stadio Luigi Ferraris awal pagi semalam sekali gus ketinggalan 15 mata di belakang pendahulu liga, Napoli.
“Sudah tentu (tidak dapat mengejar), tetapi saya tidak mahu memikirkan mengenai lawan dan hanya fokus kepada perkembangan pasukan sendiri.
“Kami hadir ke sini dengan rekod tiga kemenangan berturut-turut dalam tiga aksi terakhir. Malangnya, ia gagal diteruskan dan ini sememangnya sesuatu yang sukar untuk diterima,” kata Inzaghi.
The Nerazzurri seharusnya menyalahkan diri sendiri kerana gagal menjaringkan gol walaupun melakukan 25 percubaan keseluruhan ke gawang Sampdoria sepanjang perlawanan itu.
Ia adalah jumlah percubaan terbanyak dilakukan oleh Inter dalam aksi Serie A sejak Februari tahun lalu, namun jentera serangan Inter diketuai Lautaro Martinez gagal menterjemahkannya sebagai jaringan.
“Memang kecewa kerana sepatutnya kami pulang dengan kemenangan, bukannya seri. Kami tidak mengambil mudah aksi ini, tetapi masih gagal untuk mencapai sasaran,” jelas Inzaghi.
Inter selepas ini akan bertemu Udinese untuk aksi Serie A seterusnya Ahad ini sebelum menanti kunjungan Porto di Stadium San Siro bagi peringkat 16 terbaik Liga Juara-Juara pada 23 Februari ini. – AGENSI