LONDON – Pengurus Chelsea, Graham Potter memberi amaran kepada barisan pemainnya supaya berwaspada dengan ancaman Borussia Dortmund menjelang pusingan 16 pasukan terbaik Liga Juara-Juara di Signal Iduna Park awal pagi esok.
The Blues sedia menjadikan aksi di pentas Eropah sebagai pembakar semangat untuk memperbaiki prestasi mereka dalam saingan Liga Perdana Inggeris (EPL) selepas hanya mencatat dua kemenangan dalam 11 perlawanan.
Potter yang berdepan kecaman hebat daripada penyokong sendiri bagaimanapun tetap positif dengan peluang The Blues untuk membawa pulang bekalan selesa bagi aksi timbal balik di Stamford Bridge bulan depan.
“Dalam pusingan kalah mati seperti ini, macam-macam boleh berlaku dan semua pemain perlu sedar dengan kemungkinan tersebut. Kami akan bertemu sebanyak dua kali, jadi kami perlu fokus sepenuhnya menentang Dortmund.
“Saya percaya dengan kemampuan yang dimiliki pemain-pemain Chelsea untuk menewaskan Dortmund nanti, namun mereka juga bukan calang-calang pasukan. Kami perlu percaya pada diri sendiri,” katanya.
Bekas pengendali Brighton itu turut menggesa barisan pemainnya supaya tidak memandang rendah keupayaan Dortmund, lebih-lebih lagi skuad kendalian Edin Terzic itu berada pada prestasi terbaik ketika ini.
“Kami perlu pergi ke sana dengan rendah diri dan menghormati pasukan tuan rumah. Saya mengakui Dortmund adalah pasukan yang sangat berkualiti, namun kami juga memiliki pemain-pemain terbaik,” ujar Potter. – AGENSI