KESATUAN Olahraga Malaysia (KOM) sedia untuk melakukan segala-galanya bagi memastikan pelari pecut kebangsaan, Muhammad Azeem Fahmi dapat mewakili negara pada temasya Sukan SEA Kemboja 2023 Mei depan.
Bagaimanapun, hasrat itu dilihat agak sukar memandangkan dia terikat dengan komitmen bersama pusat pengajiannya, Universiti Auburn di Alabama, Amerika Syarikat (AS) ketika temasya tersebut berlangsung 5 hingga 17 Mei nanti.
Pengerusi Jawatankuasa Kejurulatihan dan Latihan KOM, Datuk Mark Ling menyatakan, pihaknya sedia menghantar ‘rombongan’ ke AS untuk berjumpa dan mengadakan perbincangan bersama universiti berkenaan.
“Salah satu cara adalah kita sendiri pergi ke sana (AS), mungkin pergi beberapa hari bagi membincangkan perkara ini sama ada boleh membawa Azeem pulang atau tidak. Boleh dikatakan semua orang sudah cuba menghubungi universiti berkenaan.
“Cara yang terbaik untuk berbincang adalah naik kapal terbang dan pergi sendiri ke sana Mac nanti. Bagi saya, berbincang menerusi telefon bukanlah sesuatu yang mudah,” katanya kepada pemberita selepas Mesyuarat Pemilihan Atlet ke Sukan SEA 2023 di Kuala Lumpur semalam.
Terdahulu, Presiden KOM, Datuk Seri Shahidan Kassim menyuarakan kesediaan untuk ‘menerbangkan’ Azeem ke Kemboja memandangkan atlet berusia 19 tahun itu dilihat sebagai prospek pingat emas acara 100 meter (m) berdasarkan catatan terbaik 10.09 saat (s) yang juga rekod kebangsaan.
Pada ketika ini, Azeem berkongsi catatan terbaik dengan pelari pecut Thailand, Puripol Boonson yang turut melakukan 10.09s pada Kejohanan Olahraga Dunia Bawah 20 Tahun di Colombia, Ogos tahun lalu.
Dalam pada itu, beliau turut menjelaskan, KOM sentiasa menghormati Majlis Sukan Negara (MSN) dan sedia menjalinkan kerjasama erat bagi proses pemilihan atlet yang akan menggalas cabaran Malaysia di Kemboja nanti.