PASIR PUTEH – Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) Kelantan berjaya mematahkan cubaan sekumpulan penyeludup untuk membawa masuk sebanyak 2,050 karton rokok dianggarkan bernilai RM428,450 secara haram apabila menemui rokok tersebut ditinggalkan di tebing Sungai Golok dekat Tumpat kelmarin.
Pengarah APMM Kelantan, Kepten Maritim Syed Nur Adli Syed Ab. Rahman berkata, bot peronda APMM yang berada di Pengkalan Kubor, Tumpat pada awalnya mengesan sebuah bot pancung masuk ke muara perairan Tumpat kira-kira pukul 3.45 pagi.
Menurutnya, anggota penguat kuasa terus mengekori bot tersebut yang berhenti berdekatan taman rekreasi Galeri Tengku Anis sebelum dilihat mengangkut bungkusan plastik hitam ke tebing sungai.
“Menyedari kehadiran bot peronda APMM, salah seorang suspek terus bertindak memecut laju bot dikemudinya memasuk perairan Thailand.
“Pemeriksaan terhadap 41 bungkusan plastik yang ditinggalkan di tebing sungai mendapati ia mengandungi 410,000 batang rokok yang dipercayai diseludup dari negara jiran,” katanya pada sidang akhbar di Pejabat APMM, Tok Bali di sini hari ini.
Menurut Syed Nur Adli, siasatan mendapati, jenama rokok tersebut tiada dijual di pasaran tempatan.
Katanya, anggota penguat kuasa APMM juga tidak dapat mengesan jumlah suspek yang terlibat dalam kes tersebut apabila keadaan di kawasan itu gelap selain mereka menaiki bot pancung enjin berkuasa kuda tinggi yang mampu memecut laju apabila dikejar pihak berkuasa.
“Siasatan lanjut mendapati, rokok-rokok itu berkemungkinan dibawa dari kapal kargo yang berada di tengah laut untuk memudahkan kegiatan penyeludupan pada waktu awal pagi,” katanya.
Tambahnya, APMM Kelantan akan terus meningkatkan pemantauan dan risikan bagi memastikan kegiatan penyeludupan menggunakan laluan laut dapat dibanteras. – KOSMO! ONLINE