fbpx

Kilang proses ‘e-waste’ tidak serik diserbu kali kedua

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Andansura (dua dari kanan) bersama agensi terlibat ketika melakukan serbuan di sebuah kilang memproses sisa elektronik atau ‘e-waste’ di Kawasan Perindustrian Gebeng, Kuantan, hari ini.

KUANTAN – Sebuah kilang memproses sisa elektronik atau ‘e-waste’ seolah-olah tidak serik apabila masih meneruskan operasi secara haram meskipun pernah diberi amaran pihak berkuasa sebelum ini.

Dalam serbuan melibatkan lima agensi penguat kuasa dengan kerjasama Pusat Khidmat Dewan Undangan Negeri (DUN) Beserah hari ini, kilang terletak di kawasan perindustrian Gebeng itu tidak hanya beroperasi secara haram, malah turut melakukan pembakaran terbuka.

Lima agensi terbabit dalam serbuan itu ialah Jabatan Alam Sekitar (JAS), Jabatan Keselamatan dan Kesihatan Pekerja (JKKP), Polis DiRaja Malaysia (PDRM), Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM).

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Beserah, Andansura Rabu berkata, pihaknya menyelaraskan operasi bersepadu menyerbu kilang terbabit selepas menerima banyak aduan mengenainya.

“Pihak kami menerima banyak aduan daripada orang awam bermula pertengahan Januari hingga awal Februari mengenai tindakan kilang ini yang melepaskan asap tebal dan berbau sehingga mengganggu keselesaan dan kesihatan terutama mereka yang bekerja di sekitar kawasan berkenaan.

“Daripada maklumat yang kami terima, penguatkuasa JAS bersama Majlis Bandaraya Kuantan (MBK) pernah melakukan pemantauan dan pemeriksaan di kilang berkenaan pada 25 Januari lalu serta mengeluarkan notis supaya menghentikan operasi, namun mereka berdegil dan masih meneruskan operasi,” katanya di sini hari ini.

Menurutnya, berdasarkan pemeriksaan dilakukan mendapati kilang terbabit melakukan operasi kitar semula sisa elektronik untuk dijadikan jongkong aluminium dan dipercayai sudah beroperasi hampir sebulan.

“Kilang ini dipercayai menjalankan operasi tanpa kelulusan selain melakukan pelbagai kesalahan termasuk pembakaran terbuka dan pihak JAS telah mengarahkan mereka menghentikan pembakaran terbabit serta-merta.

“Tindakan susulan termasuk tindakan undang-undang akan dibuat pihak berwajib terhadap kilang terbabit,” katanya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI