KUALA SELANGOR – Kerajaan Selangor dalam proses mewartakan Pusat Kawalan Kusta Negara Sungai Buloh dekat sini bagi menjadikan bangunan itu sebagai tapak warisan kebangsaan.
Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pembangunan Luar Bandar dan Kebudayaan negeri, Borhan Aman Shah berkata, proses pewartaan itu dijangka dapat diselesaikan dalam tempoh terdekat.
“Pewartaan itu menghadapi kesulitan sebelum ini kerana tanah pusat kusta berkenaan hak milik KKM (Kementerian Kesihatan).
“Namun, kita yakin akan segera diselesaikan dan diwartakan secepat mungkin,” katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan pembukaan Muzium Permainan Tradisional di Bukit Malawati di sini, hari ini.
Kerajaan Selangor sebelum ini memaklumkan akan membawa usul enakmen pewartaan bahan bersejarah di untuk dibahaskan dalam Sidang Dewan Undangan Negeri (DUN).
Langkah itu bagi membolehkan kerajaan negeri berhak untuk mewartakannya selain perlu mendapat persetujuan daripada Jabatan Warisan Negara ketika ini.
Borhan menjelaskan, pihaknya berdepan kesukaran mewartakan bahan atau tempat bersejarah kerana perlu mendapat persetujuan seumpama itu.
Sebagai contoh, katanya, kerajaan negeri Melaka sudah mempunyai akta dan enakmen sendiri untuk mewartakan bangunan bersejarah. – KOSMO! ONLINE