KOTA BHARU – Majlis Perbandaran Kota Bharu-Bandar Raya Islam (MPKB-BRI) menangkap sebanyak 18 ekor tikus yang berkeliaran dalam operasi pembersihan di Pasar Besar Siti Khadijah di sini, semalam.
Yang Dipertuanya, Rosnazli Amin berkata, operasi yang bermula pada pukul 9 malam
melibatkan anggota Unit Kawalan Vektor dan Penyakit Berjangkit, Bahagian Kesihatan Awam MPKB-BRI.
Katanya, siasatan mendapati, punca pembiakan tikus di pasar tersebut berikutan kawasan persekitaran yang tidak bersih.
“Kita juga mengesan terdapat sisa makanan di kawasan gerai, longkang, bekas dan tong ikan tidak digunakan yang dilihat menjadi tempat pembiakan tikus.
“Selain itu, ada segelintir peniaga tidak menyimpan barang jualan dengan sempurna sehingga menyebabkan tikus datang ke premis mereka,” katanya ketika dihubungi Kosmo! hari ini.
Mengulas lanjut, Rosnazli memberitahu, siasatan mendapati, kebanyakan peniaga turut tidak menjaga kebersihan gerai jualan selepas operasi perniagaan tamat.
Katanya, berdasarkan pemeriksaan, sampah atau sisa jualan dibiarkan di kawasan gerai dan hanya mengharapkan petugas pembersihan datang membersihkan kawasan premis mereka.
Tambah Rosnazli, kesemua tikus yang ditangkap dalam operasi itu sudah dilupuskan. – KOSMO! ONLINE