PORT DICKSON – Tiga individu termasuk seorang remaja maut dalam kemalangan membabitkan sebuah Toyota Vios dan Toyota Hilux di Kilometer 20.8 Lebuh raya Seremban-Port Dickson (SPDH) menghala ke Port Dickson di sini tengah hari tadi.
Pegawai Operasi Balai Bomba dan Penyelamat Port Dickson, Pegawai Bomba Kanan II, Shahrudin Saari berkata, pihaknya menerima panggilan kejadian pada pukul 1.03 tengah hari tadi.
“Setibanya di lokasi kejadian, terdapat kemalangan melibatkan dua buah jenis kenderaan iaitu Toyota Hilux dan Toyota Vios, tindakan bomba adalah mengeluarkan mangsa yang tersepit. Kami mendapati terdapat enam mangsa di dalam kereta Toyota Vios tersebut.
“Tiga daripada maut di tempat kejadian iaitu seorang remaja lelaki berusia 16 tahun dan dua wanita berusia 35 tahun dan 51 tahun
“Tiga lagi mangsa yang mengalami kecederaan telah dihantar mendapatkan rawatan ke Hospital Port Dickson,” katanya ketika dihubungi hari ini.
Jelasnya, mayat ketiga-tiga mangsa telah diserahkan kepada pihak Kementerian Kesihatan dan polis untuk tindakan lanjut manakala pemandu Toyota Hilux pula tidak mengalami sebarang kecederaan. -KOSMO! ONLINE.