KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim mendedahkan selain ketirisan semasa pentadbiran Barisan Nasional (BN), ‘kerosakan’ turut berlaku ketika kerajaan Perikatan Nasional (PN) mentadbir sebelum ini.
Anwar yang juga Ahli Parlimen Tambun berkata, antara ‘kerosakan’ tersebut adalah termasuk penyalahgunaan dana, projek tebatan banjir serta beberapa ketirisan lain yang sedang dalam siasatan.
Jelas beliau, jika semasa pentadbiran BN antara ketirisan yang paling ketara adalah berkaitan skandal 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
“Ada yang bertanya kenapa ada (kes) yang masih belum disiasat, itu adalah di bawah bidang kuasa Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dan kenapa masih ada yang belum didakwa, itu pula di bawah bidang kuasa Jabatan Peguam Negara.
“Tetapi tunggu, dalam masa terdekat akan ada pendakwaan dibuat dan ini adalah berita baik untuk rakyat,”katanya pada Sesi Pertanyaan Menteri (MQA) di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan daripada Datuk Radzi Jidin (PN-Putrajaya) yang bertanya tentang ketirisan semasa pemerintahan kerajaan BN dan salah guna kuasa oleh Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan ketika itu.
Pada masa sama, Anwar yang juga Menteri Kewangan berkata, pelantikan Perdana Menteri sebagai Menteri Kewangan bukanlah satu masalah.
Sebaliknya kata beliau, yang menjadi masalah apabila individu tersebut menyalahgunakan kuasa dan kedudukan untuk ‘merompak’ harta rakyat.
“Yang terpalit dengan rasuah harus rasa tertekan dan bimbang kerana saya bertekad dalam pentadbiran Kerajaan Perpaduan ini, saya akan menggunakan segala usaha untuk menghalang khianat rasuah yang berleluasa,”tegasnya. -KOSMO! ONLINE.