PUTRAJAYA – Bilangan kes kematian Covid-19 di seluruh negara bagi Minggu Epidemiologi ke-6 (5 hingga 11 Februari) meningkat kepada lapan kes berbanding tiga kes pada minggu sebelumnya.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr. Noor Hisham Abdullah berkata, ia adalah peningkatan sebanyak 166.7 peratus namun pada masa sama, bilangan kes baharu Covid-19 pula menurun sebanyak 19.4 peratus (1,913 kes kepada 1,542 kes).
“Malah, bilangan kes sembuh juga meningkat sebanyak 63.1 peratus (1,270 kes kepada 2,071 kes),” katanya menerusi kenyataan akhbar hari ini.
Katanya, secara keseluruhan, kumulatif kes baharu Covid-19 di negara ini mencecah 5,039,326 kes dengan 4,993,160 kes sembuh selain 9,490 kes aktif.
Dr. Noor Hisham berkata, jumlah kumulatif kes kematian pula adalah sebanyak 36,951 kes manakala jumlah kumulatif kluster pula adalah 7,171 kluster termasuk lima kluster yang masih aktif.
Dalam pada itu katanya, secara keseluruhan, jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke fasiliti kesihatan bagi setiap 100,000 penduduk menurun sebanyak 6.5 peratus berbanding migggu sebelumnya.
“Manakala, jumlah kemasukan pesakit Covid-19 ke hospital awam bagi setiap 100,000 populasi pula tidak berubah bagi pesakit kategori 1 dan 2 termasuk tiada perubahan bagi pengisian pesakit katil bukan kritikal.
“Pengisian katil di Unit Rawatan Rapi (ICU) dan pesakit yang memerlukan alat bantuan pernafasan pula masing-masing menurun kepada dua peratus dan 0.2 peratus,” katanya.-KOSMO! ONLINE.