fbpx

Bingkisan Munajat, rintihan doa M. Nasir

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
DALAM filem Imam yang akan ditayangkan di pawagam pada bulan Mac depan, M. Nasir membawakan watak utama sebagai Imam Haji Mihad.

PETALING JAYA – Selepas kali terakhir muncul dengan album Sang Pencinta pada Mei 2006, penyanyi legenda Datuk M. Nasir kembali menyapa peminat dengan buah tangan terbaharu berjudul Munajat.

Munajat yang membawa maksud doa atau rintihan hati selalunya dalam bentuk zikir untuk memohon keredaan Tuhan Yang Maha Esa dicipta sepenuhnya penyanyi juga komposer berusia 65 tahun itu.

Lebih membanggakan apabila lagu terbitan Luncai Emas Sdn. Bhd. tersebut juga digunakan sebagai runut bunyi asli filem Imam arahan Mior Hashim Manap terbitan Al-Kahfi Sdn. Bhd.

Dalam filem yang diadaptasikan daripada karya agung Sasterawan Negara iaitu Datuk Abdullah Hussain tersebut, M. Nasir membawa watak utama sebagai Imam Haji Mihad.

Sebagai seorang seniman yang sering mencabar diri melakukan pelbagai perkara, pelantun lagu Mustika itu tidak mahu melepaskan peluang memerankan watak utama dalam Imam.

Selain M. Nasir, pelakon senior seperti Vanidah Imran dan Faizal Hussein turut sama-sama menjayakan filem Imam yang akan menemui penonton di pawagam bermula 2 Mac depan.

Imam mengisahkan Imam Haji Mihad yang pulang ke kampung halaman iaitu Kampung Anggerik Desa setelah lama menghilang.

Setelah itu, dia dilantik menggantikan imam tua iaitu Haji Abdul Rahman dan berusaha membawa pembaharuan di dalam masjid.

Usahanya mendapat tentangan hebat daripada penduduk kampung yang masih jumud sehingga nyawanya turut terancam akibat hasad dengki.

Lagu Munajat sudah dilancarkan pada 10 Februari lalu dalam semua saluran digital, sementara muzik video pula boleh ditonton menerusi saluran YouTube Luncai Emas. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI