MADRID – Ketua jurulatih Real Madrid, Zinedine Zidane masih enggan mengibarkan bendera putih selepas pasukannya tewas mengejut pada aksi pembukaan Kumpulan B kepada Shakhtar Donetsk 2-3 dalam aksi di Stadium Alfredo De Stefano awal pagi semalam.
Ia adalah kekalahan kedua berturut-turut buat pasukan The Galacticos di laman sendiri selepas turut dikejutkan oleh pendatang baharu Liga Sepanyol, Cadiz dengan kekalahan 0-1 minggu lalu.
Keputusan itu juga memberikan tekanan tambahan buat Zidane dalam merencanakan perancangan terbaik menjelang aksi penting La Liga menentang Barcelona dalam pertembungan El Clasico pada awal pagi esok.
Kata Zidane, masih ada ruang untuk diperbaiki oleh pasukannya dan barisan pemain juga sedar dengan tekanan yang ada ketika ini selepas rentetan keputusan negatif yang dicatatkan.
“Saya tidak mahu menjadikan keputusan yang kami raih ketika ini sebagai alasan untuk mengalah kerana masih ada peluang serta ruang yang boleh diperbaiki memandangkan saingan baru di peringkat awal musim.
“Barisan pemain juga perlu kekal positif selain berusaha untuk elakkan kesilapan mudah yang dilakukan seperti dua perlawanan lepas. Saya tahu mereka hilang keyakinan tetapi selepas ini kami akan bertemu Barcelona dan mereka harus kembali fokus.
“Mengenai perlawanan, apa yang saya boleh puji adalah usaha pemain untuk kembali bangkit selepas ketinggalan 0-3 dan mereka berjaya meraih dua gol, namun tidak bernasib baik untuk meraih sekurang-kurangnya keputusan seri,” katanya. – AGENSI