LONDON – Sebuah asteroid kecil dinamakan Sar2667 meletup dan menerangi langit malam di Selat Inggeris kira-kira pukul 3 pagi (waktu tempatan) semalam, lapor akhbar The Sun.
Cahaya akibat letusan asteroid 0.91 meter (m) itu dilaporkan dapat dilihat di seluruh selatan England, Wales termasuk di beberapa bahagian di Perancis.
Ia adalah kali ketujuh serpihan batu angkasa berjaya diramalkan lebih awal akan meletus.
Agensi Angkasa Eropah (ESA) menerusi Twitter menyatakan, pengesanan lebih awal itu adalah tanda kemajuan pesat dalam pengesanan asteroid global. ESA sebelum ini menyatakan objek tersebut dijangka memasuki atmosfera Bumi di utara Perancis.
Pakar-pakar di Pertubuhan Meteor Antarabangsa menjangkakan kejadian itu yang akan mewujudkan kesan bebola api.
Pakar fizik, Mark Boslough dari Makmal Kebangsaan Los Alamos, New Mexico, Amerika Syarikat (AS) memberitahu portal berita Wales Online bahawa walaupun letusan udara sebesar itu berlaku beberapa kali dalam setahun namun kejadian tersebut jarang ditemui lebih awal. – Agensi