BENTONG – Kerajaan negeri akan menyiasat dan meneliti punca utama kejadian banjir lumpur termasuk kemungkinan penerokaan di atas kawasan berbukit di Kampung Bukit Tinggi, di sini.
Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, pihaknya akan memberikan keutamaan untuk menyiasat punca utama kejadian, namun berdasarkan laporan awal, ia disebabkan hujan lebat serta longkang tersumbat.
“Untuk selesaikan masalah, kita kena tahu punca. Bila dah tahu punca, kita akan ambil tindakan.
“Jadi, bagi kejadian semalam, punca utama yang dilaporkan ialah hujan lebat selama satu jam bermula pukul 5.30 petang, beserta hujan renyai-renyai selama empat jam,” katanya ketika ditemui selepas melawat Kampung Bukit Tinggi, hari ini.
Semalam, penduduk di Kampung Bukit Tinggi dikejutkan dengan kejadian banjir lumpur yang berlaku sekitar pukul 6 petang, yang merupakan fenomena terburuk buat pertama kali bagi mereka.
Sementara itu beliau berkata, sebanyak RM200,000 bagi membaiki longkang yang tersumbat di kawasan perkampungan berkenaan.
Katanya bagi memastikan masalah ini tidak berulang kerajaan negeri bercadang membina sebuah jambatan di Jalan Bentong-Kuala Lumpur Lama berdekatan persimpangan Janda Baik yang bernilai antara RM4 juta hingga RM5 juta untuk penyelesaian jangka masa panjang.-KOSMO! ONLINE