SHAH ALAM – Seorang pegawai universiti tempatan ditahan selepas disyaki mengemukakan tuntutan palsu bagi projek pendidikan berjumlah kira-kira RM330,000.
Sumber berkata, suspek wanita berusia 40 tahun itu ditahan kira-kira pukul 4 petang tadi ketika hadir memberikan keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Selangor.
Kata sumber, suspek dipercayai membuat tuntutan palsu bagi projek pendidikan itu antara tahun 2018 hingga 2022.
“Siasatan awal mendapati kakitangan di bawah suspek tidak terlibat langsung dengan aktiviti dan tuntutan tersebut.
“Tuntutan palsu itu bagi projek pendidikan bernilai kira-kira RM330,000,” katanya hari ini.
Sementara itu, Pengarah SPRM Selangor, Datuk Alias Salim ketika dihubungi mengesahkan penahanan suspek tersebut dan kes disiasat mengikut Seksyen 18 Akta SPRM 2009.
Jelas beliau, suspek dijangka dibawa ke Mahkamah Majistret Shah Alam untuk permohonan reman, pagi esok. -KOSMO!ONLINE