fbpx

Nilai kapasiti keluaran EB cecah RM1 bilion

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Dari kiri: Chin Hooi, Nadzman dan Chris melakukan gimik pelancaran ibu pejabat baharu Kumpulan EB di KHTP, Kulim baru-baru ini.

KULIM – Syarikat pembuatan dan pengeluaran makanan sejuk beku, Kumpulan EB mampu mengeluarkan 210,000 tan produk makanan tersebut dengan nilai RM3.5 bilion setahun.

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EB, Chris Ooi berkata, pengeluaran itu disumbangkan oleh tiga anak syarikatnya dengan rangkaian produk yang luas iaitu Everbest Soya Bean Pro­ducts Sdn. Bhd., EB Frozen Food Sdn. Bhd. dan Hoshay Food Sdn. Bhd.

Ketiga-tiga anak syarikat itu mengeluarkan produk berbeza masing-masing berasaskan kacang soya, surimi, ayam, udang dan ikan Alaska pollock, vegeta­rian dan tumbuhan.

“Pencapaian Kumpulan EB secara global adalah mengeluarkan produk berkualiti tinggi terma­suk mengeksport ke 32 negara di serata dunia antaranya Thailand, Singapura, Taiwan, China dan Australia,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran ibu pejabat baharu Kumpulan EB di Taman Teknologi Tinggi Kulim (KHTP) di sini baru-baru ini yang disempurnakan oleh Yang Dipertua Majlis Perbandaran Kulim Kedah (MPKK), Dr. Nadzman Mustaffa.

Turut hadir Pengerusi Kumpulan EB, Ang Chin Hooi.

Ooi menjelaskan, bagi pasaran dalam negara, kumpulan berupaya menghasilkan 60,000 tan produk makanan sejuk beku setiap tahun yang bernilai RM1 bilion.

Sementara itu, beliau berkata, bersesuaian dengan permintaan pasaran yang terus meningkat, pihaknya telah menggunakan teknologi terbaharu dalam pro­ses pengeluarannya iaitu Indivi­dual Quick Freezing (IQF) dalam penghasilan produk makanan sejuk beku yang lebih sihat dan baik.

“Pelaburan bagi teknologi terbaharu IQF itu melibatkan penggunaan teknik proses pembekuan yang cepat tetapi dapat mengekalkan tahap nutrisi ter­tinggi serta tahap kesegaran bahan utama produk tersebut,” jelasnya.

Mengulas mengenai harta­nah terbaharunya di KHTP, Chris menjelaskan, ia melibatkan pelaburan sehingga RM250 juta untuk perolehan tanah seluas 871,200 kaki persegi di situ.

“Syarikat juga memperuntukkan sebanyak RM210 juta untuk pembelian mesin pembuatan baharu dan berteknologi tinggi bertujuan untuk menambah kua­liti serta produktiviti dalam penghasilan produk.

“Sebanyak RM40 juta pula te­lah dibelanjakan untuk ba­ngunan lima tingkat yang dibina sebagai ibu pejabat baharu Kumpulan EB yang mampu menampung sehingga 600 pekerja,” katanya.

Tambahnya, pembinaan bangunan baharu tersebut adalah untuk menyediakan tempat dan suasana kerja yang selesa bagi semua kakitangannya selain sebagai satu tarikan untuk menarik generasi muda menyertai Kumpulan EB. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI