BENTONG – Kejadian banjir kilat berlumpur yang melanda sekitar Kampung Bukit Tinggi di sini petang semalam menggemparkan penduduk di kawasan tebing bukit itu kelmarin.
Rata-rata penduduk yang ditemui melahirkan rasa terkejut dengan kejadian kali pertama yang melibatkan aliran air deras berlumpur di kawasan itu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 6 petang itu kawasan tebing bukit itu ditenggelami air deras selama kira-kira sejam.
Seorang penduduk Lau Sau Ying, 62, berkata, kejadian banjir berlumpur di kawasan rumah kedainya yang terletak di tempat yang tinggi itu pertama kali berlaku di kawasan itu.
“Saya terkejut kerana aliran air yang deras ini turut bercampur dengan lumpur yang dipercayai dari bukit.
“Nasib baik semasa kejadian saya sudah tutup kedai dan tidak banyak lumpur yang masuk, itu pun lumpur dalam kedai setinggi dua inci,” katanya ketika ditemui di sini hari ini.
Menurutnya kejadian itu turut menyebabkan ada barang-barang di kedai runcitnya rosak ditenggelami air.
Dalam pada itu seorang pekerja kedai sayur, Karlina Ally, 50, berkata semasa kejadian dia sedang mengemas sayur di dalam kedai dan hujan baru sahaja turun.
“Tiba-tiba saya dapati air deras lalu di hadapan jalan dan masuk ke dalam kedai, saya amat terkejut dengan kejadian itu dan segera mengangkat sayur yang berada di bawah.
“Saya pelik kerana baru 30 minit hujan air sudah sederas ini, apa sebenarnya punca air bukit turun begitu cepat saya harap perkara ini dapat diberi perhatian,” katanya.
Tambahnya, beliau berharap keadaan ini tidak berulang dan kawasan-kawasan bukit di sini yang menjadi kawasan tadahan air dapat dipastikan terus terpelihara.
Sementara itu, seorang pemilik bengkel motosikal, Liew Wai Kit, 32, berkata, kejadian pertama kali berlaku itu menyebabkan lebih 10 buah motosikal pelanggan di bengkelnya ditenggelami air.
“Saya tidak pasti berapa lagi kerugian yang dialami tetapi saya akan baiki semua motosikal ini yang sudah tentu ditenggelami air berlumpur,” ujarnya.