LANGKAWI – Konsortium Ferry Line Ventures Sdn. Bhd. menggesa pihak kontraktor supaya dapat menyiapkan kerja-kerja pengerukan alur pelayaran di perairan Kuala Perlis dengan segera menjelang Pameran Maritim dan Aeorangkasa Antarabangsa Langkawi 2023 (LIMA’23).
Pengurus Sumber Manusia dan Operasinya, Baharin Baharom berkata, kerja-kerja mendalamkan laluan feri perlu disiapkan sekurang-kurangnya sebulan lebih awal, bukan seminggu sebelum program LIMA’23 berlangsung iaitu pada 23 hingga 27 Mei depan.
“Jika kerja-kerja pengerukan dapat disiapkan sebulan sebelum LIMA’23, jadual perjalanan feri boleh disediakan lebih awal.
“Kami sudah menerima pertanyaan daripada penumpang berhubung perjalanan feri dan penjualan tiket menjelang penganjuran program antarabangsa tersebut,” katanya di sini semalam.
Menurut Baharin, buat masa ini, pihaknya belum dapat menyediakan jadual perjalanan feri dengan lebih awal kerana terpaksa bergantung kepada paras air laut yang tidak menentu.
Berita berkaitan: LIMA’23: Perkhidmatan feri Langkawi diberi perhatian
Dalam pada itu, kata beliau, perjalanan feri pada 1 dan 2 Mac depan terpaksa dibatalkan berikutan air surut kurang daripada paras 1.6 meter (m) menyebabkan keadaan yang tidak selamat untuk feri berlabuh.
Katanya, kebiasaannya terdapat lima perjalanan feri bagi laluan Kuala Perlis-Langkawi setiap hari.
“Paras air laut di alur pelayaran Kuala Perlis berada di bawah 1.6 meter yang mana ia tidak selamat untuk dimasuki oleh feri.
“Sehubungan itu, penumpang dinasihatkan supaya menggunakan laluan Langkawi-Kuala Kedah bagi dua tarikh tersebut,” jelasnya.
Ketika ini, katanya, sebanyak lima perjalanan feri sehari disediakan bagi laluan Kuala Kedah dan akan ditambah mengikut permintaan penumpang.
“Perjalanan bagi feri membawa penumpang dan kenderaan jenis Roll On Roll Off (RORO) bagaimanapun tidak terjejas kerana jenis feri digunakan adalah berbeza,” katanya.
Kosmo! pada 10 Februari lalu melaporkan isu berkaitan feri yang terhad selain alur pelayaran di Kuala Perlis yang cetek dikhuatiri akan menjejaskan kemeriahan LIMA’ 23, sekali gus memberi kesan kepada pempamer.