KUALA LUMPUR – Akibat difitnah kononnya terlibat dalam sindiket penipuan Macau Scam dan kegiatan pengubahan wang haram, pelakon Chacha Maembong membuat laporan polis bagi membersihkan namanya.
Menurut Chacha atau nama sebenarnya Siti Aisyah Ismail, laporan berhubung perkara itu telah dibuat di Balai Polis Seremban pada 20 Oktober lalu selepas mendapat nasihat daripada peguamnya.
“Tujuan laporan ini dibuat untuk menghentikan dan menafikan segala fitnah yang berleluasa tentang diri saya.
“Ia berkenaan isu Macau Scam termasuk mengenai tuduhan aktiviti pelacuran,” katanya menerusi satu entri dalam akaun Instagramnya semalam.
Kata pelakon filem Anak Perjanjian Syaitan itu, dia akan memberi kerjasama sepenuhnya sekiranya dipanggil Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) atau Polis Diraja Malaysia (PDRM).
“Selain itu, saya akan mengambil tindakan terhadap individu yang telah memfitnah dan menyebarkan tuduhan tersebut.
“Tindakan susulan daripada pihak guaman akan dijalankan. Laporan yang dibuat berhubung kes ini kini sedang dalam siasatan, saya tidak akan membuat sebarang kenyataan sehingga siasatan pihak polis selesai,” ujarnya.
Terdahulu, dalam laporan Kosmo!, adik kepada pelakon Emma Maembong itu pernah menafikan pembabitannya dalam kes penipuan Macau Scam dan pengubahan wang haram.
Chacha difitnah selepas perniagaan yang dimulakannya didakwa menggunakan dana daripada individu yang dipercayai terlibat dalam kes berkenaan dan kini sedang dalam siasatan SPRM.