KUALA LANGAT – Kegiatan lima lelaki melakukan jenayah pecah masuk premis dan rumah sejak dua bulan lalu berakhir selepas ditangkap dalam dua serbuan berasingan, semalam.
Kesemua lelaki berusia 27 hingga 38 tahun termasuk juruteknik penghawa dingin itu dicekup dalam tempoh lebih sejam bermula pukul 5 petang.
Ketua Polis Daerah Kuala Langat, Superintendan Ahmad Ridhwan Mohd Nor @ Salleh berkata, penangkapan mereka susulan laporan pecah kedai alat perkakasan atau hardware pada 10 Februari dengan beberapa peralatan dilaporkan hilang termasuk mesin jigsaw, grinder, hacker, mesin pemotong pokok dan mesin pemotong besi.
“Bertindak maklumat, polis kemudiannya berjaya menahan dua suspek di sekitar kawasan Sungai Kapar, Klang dekat sini.
“Soal-siasat kemudiannya membawa penahanan tiga lagi rakan jenayah mereka di Telok Panglima Garang,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurut beliau, polis turut merampas pelbagai peralatan alat perkakasan selain lima buah telefon bimbit pelbagai jenama.
Ahmad Ridhwan menjelaskan, siasatan mendapati tiga daripada suspek bekerja sebagai juruteknik membaiki penghawa dingin dan dua lagi mekanik.
“Kesemua mereka juga mempunyai rekod lampau iaitu berkaitan kes jenayah dan narkotik.
“Mereka kini direman empat hari dan kes disiasat mengikut Seksyen 457 Kanun Keseksaan,” ujarnya. -KOSMO!ONLINE