PETALING JAYA – Ribuan keluarga yang menjadi mangsa gempa bumi di selatan Turkiye pada 6 Februari lalu terpaksa menahan kesejukan melampau ketika berlindung di dalam kereta, pondok bas dan ada yang memilih sekitar laluan kedai terbiar sebagai tempat berteduh.
Pengerusi Pertubuhan Tumbuh Insan (Tumbuh), Imran Zaki berkata, ramai mangsa yang kehilangan tempat tinggal akibat kemusnahan dan keruntuhan bangunan yang berlaku.
Imran turut menggambarkan keadaan gempa bumi di Turkiye dan Syria itu seperti suasana ketika berperang kerana seluruh bandar berdebu dan berduka.
“Untuk memahami kawasan gempa bumi di sini, macam kawasan perang. Runtuhan bangunan, keadaan suram dan sunyi, mangsa mengalami emosi tak stabil dan terkejut.
“Ramai kehilangan keluarga dan tempat tinggal dalam satu malam,” katanya kepada Kosmo!
Bercerita lanjut, Imran yang kini sedang menjalankan misi bantuan kemanusiaan di Turkiye berkata, pasukannya berpeluang melawat bandar Antakya yang merupakan salah satu tempat paling teruk terjejas susulan gempa bumi tersebut.
“Runtuhan dilihat di merata tempat. Kerja-kerja pencarian masih dijalankan. Jenazah yang ditemui dalam runtuhan akan dibawa ke tempat tertentu.
“Kami bergerak ke merata tempat. Melihat bagaimana mangsa-mangsa tinggal di khemah, ada juga yang tinggal di kereta, depan kedai terbiar, kawasan taman, stesen bas atau ada yang sudah bergerak meninggalkan negeri ini menuju negeri terdekat yang lebih selamat,” ujarnya.