KUALA LUMPUR – Naib juara Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37), Joe Flizzow memaklumkan, dia tidak tahu-menahu tentang kewujudan sistem markah dalam menentukan pemenang acara berprestij tanah air tersebut.
Joe atau nama sebenarnya, Johan Ishak berkata, sebagai peserta bertanding, dia tidak tahu lebih terperinci bagaimana juri meletakkan markah untuk setiap persembahan atau lagu.
“Saya pun tak tahu ada sistem markah. Serius saya tak tahu. Okey sekarang saya tahu (ada sistem markah).
“Maaf. Maksud saya, memang tak tahu bagaimana sistem pemarkahan berlaku,” katanya kepada Kosmo! Online pada sidang akhbar malam kemuncak AJL37, semalam.
Dinobatkan sebagai naib juara dalam pada ramai pemerhati seni muzik meramalkan lagu Satu Malam Di Temasek mempunyai peluang cerah bergelar juara, Joe, 44, berkata, semua 12 lagu bertanding mempunyai keistimewaan masing-masing.
“Saya pernah cakap masa menang AJL29, kemenangan umpama kita diberi pengiktirafan oleh industri bahkan dicalonkan atau disenaraikan sebagai 12 lagu yang bagus.
“Bagi saya, semua ini macam pergi ke pameran kita nampak ada 12 lukisan. Dan kemudian orang cakap, lukisan anda adalah yang kedua terbaik.
“Sedangkan pada akhirnya, muzik adalah muzik. Saya tak melihat lagu saya sebagai tempat kedua, keempat, ketujuh atau kesembilan,” katanya.
Sungguhpun begitu, Joe dan SonaOne sangat menghargai perhatian diberikan industri dan melihat kejayaan tersebut sebagai satu lagi anjakan untuk dunia hip-hop.
“Dan, saya cakap benda yang sama itu pada AJL29. Jadi, saya sangat menghargai lagu hip-hop diberi pengiktirafan. Sejujurnya, kami tak sangka langsung lagu ini akan masuk dan akan diterima pendengar di luar sana.
“Susah dan maaf jawapan saya tak tepat tapi macam kalau kita nak beli kain songket dan orang kata kita punya nombor dua paling bagus sedangkan ia sesuatu yang subjektif dan susah untuk diterangkan,” jelasnya.
Terdahulu, ketua juri AJL37, Datuk Mokhzani mendedahkan jurang perbezaan markah antara lagu Aina Abdul iaitu Terus Hidup dengan Satu Malam Di Temasek hanya dua markah sahaja.
Barisan juri AJL35 diketuai Mokhzani dengan kerjasama juri lain termasuklah Acis, Altimet, Noryn Aziz, Jari, Ad Samad, Azlan Abu Hassan, Khir Rahman, LY dan Damian. – KOSMO! ONLINE