fbpx

Bantuan PBB tidak kunjung tiba, mangsa gempa makin melarat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TEDROS (tengah) melawat sebuah kejiranan terjejas gempa bumi di bandar Aleppo pada 11 Februari lalu. – AFP

ANKARA – Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) kelmarin mengecam kegagalan untuk menghantar bantuan amat diperlukan ke rantau bergolak di Syria dan memberi amaran bahawa angka korban lebih 33,000 orang akibat gempa bumi yang turut menggegarkan Turkiye itu akan terus meningkat.

Sebuah konvoi PBB membawa bekalan untuk kawasan di barat laut Syria tiba melalui Turkiye tetapi ketua agensi bantuan agensi, Martin Griffiths berkata, lebih banyak diperlukan untuk berjuta-juta penduduk yang mana kediaman mereka musnah.

“Kami menghampakan penduduk di barat laut Syria. Mereka berhak berasa dipinggirkan kerana menanti bantuan antarabangsa tidak kunjung tiba,” katanya di laman Twitter.

Menilai kerosakan di selatan Turkiye kelmarin ketika angka kematian mencecah 28,000 orang, kata Griffiths, beliau menjangka jumlah korban akan meningkat ‘dua kali ganda atau lebih tinggi’ dengan peluang untuk menemui mangsa masih hidup semakin hari semakin pudar.

Bekalan lambat tiba di Syria di mana konflik bertahun-tahun telah memusnahkan sistem penjagaan kesihatan, manakala beberapa kawasan di Syria kekal di bawah kawalan pemberontak. Mereka memerangi kerajaan pimpinan Presiden Bashar Al-Assad yang dikenakan sekatan oleh Barat.

Bagaimanapun, konvoi 10 buah lori menyeberang masuk ke barat laut Syria melalui lintasan sempadan Bab al-Hawa dengan membawa kit perlindungan, tali, selimut, tilam dan karpet.

Bab al-Hawa adalah satu-satunya lokasi untuk bantuan antarabangsa sampai ke penduduk di kawasan dikuasai pemberontak di Syria selepas perang saudara hampir 12 tahun, kerana lintasan sempadan lain semuanya ditutup akibat tekanan dari China dan Russia.

Ketua Pengarah Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO), Tedros Adhanom Ghebreyesus menemui Bashar di Damsyik kelmarin dan berkata, pemimpin itu menyuarakan kesediaan membuka lebih banyak lintasan sempadan untuk membawa masuk bantuan ke rantau dikuasai pemberontak di barat laut Syria.

“Bashar sedia menimbang membuka akses lintasan sempadan tambahan untuk situasi kecemasan.

“Krisis terkumpul seperti Covid, kolera, kemerosotan ekonomi dan kini gempa bumi, membawa kesengsaraan yang tidak tertanggung,” kata Tedros kepada pemberita, sehari selepas melawat bandar Aleppo di Syria.

Tambah Tedros, beliau masih menunggu kelulusan untuk menyeberangi sempadan menuju ke barat laut Syria di mana impak gempa bumi adalah lebih dahsyat.

Walaupun Damsyik memberikan lampu hijau untuk konvoi bantuan melintasi sempadan di kawasan dikuasai kerajaan, Tedros berkata, WHO masih menunggu kebenaran dari kawasan yang dikuasai pemberontak sebelum menyeberang masuk.

Bashar pula mengalu-alukan kerjasama efisien dengan WHO untuk memulihkan bekalan, peralatan dan ubat-ubatan, kata pejabat Presiden.

Beliau turut berterima kasih kepada Emiriyah Arab Bersatu kerana menghulurkan ‘bantuan kemanusiaan dan pemulihan yang besar’ di samping ikrar peruntukan berjumlah puluhan juta dolar.

Bagaimanapun di Turki, kebimbangan keselamatan mendorong sebilangan operasi menyelamat dibatalkan, manakala berpuluh-puluh orang telah ditangkap kerana mencuri dan cuba menipu mangsa gempa bumi.

Sebuah agensi bantuan Israel menyatakan kelmarin bahawa ia menamatkan operasi menyelamat di Turkiye dan pulang ke Israel berikutan ancaman keselamatan ‘signifikan’ terhadap kakitangannya.

Dalam perkembangan ber­kaitan, sebilangan lagi mangsa gempa telah diselamatkan hampir enam hari selepas gempa berlaku termasuk seorang budak lelaki berumur lapan tahun di Gaziantep dan wanita berusia 63 tahun di Hatay. – AFP .

Agensi bencana Turkiye berkata, lebih 32,000 orang daripada sebilangan organisasi tempatan menyertai usaha mencari dan menyelamat bersama 8,294 anggota penyelamat antarabangsa.

Namun, di banyak kawasan, pasukan-pasukan penyelamat berkata, mereka kekurangan sensor serta peralatan pencarian canggih dan terpaksa berhati-hati menggali timbunan serpihan sama ada dengan menggunakan penyodok atau tangan kosong.

“Sekiranya kami memiliki peralatan seperti ini, kami boleh menyelamatkan beratus-ratus nyawa atau lebih ramai lagi,” kata Alaa Moubarak iaitu ketua pertahanan awam di Jableh, barat laut Syria.

Sementara itu, jabatan pengangkutan Syria memberitahu, sebanyak 62 pesawat bantuan mendarat minggu lalu dengan lebih banyak lagi dalam perjalanan ke Syria dari Arab Saudi.

Kementerian luar Jordan mengumumkan bahawa dua pesawat tentera udara negara itu telah berlepas dengan membawa 480 khemah PBB ke Syria dan Turkiye, daripada 10,000 khemah yang akan diangkut ke dua negara berkenaan.

Selepas bersedih selama beberapa hari, kemarahan di Turkiye meningkat berhubung kualiti bangunan yang teruk di samping kelewatan kerajaan bertindak menangani bencana alam yang disifatkan paling buruk dalam tempoh hampir 100 tahun itu.

Sejumlah 12,141 banguna secarea rasmi telah sama ada musnah atau rosak teruk di Turkiye.

Tiga individu dipenjarakan menjelang kelmarin dan tujuh lagi telah ditahan termasuk dua pemaju yang cuba melarikan diri ke negara bekas Kesatuan Soviet, Georgia.

Pegawai serta petugas perubatan berkata, seramai 29,605 orang terkorban di Turkiye dan 3,581 di Syria akibat gempa bumi bermagnitud 7.8 yang berlaku Isnin lepas, menjadikan angka korban disahkan meningkat kepada 33,186 orang setakat kelmarin. – AFP .

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI