fbpx

Pencarian Rizqullah diperluas ke pinggir Sungai Klang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anggota bomba dalam misi mencari dan menyelamat seorang lagi kanak-kanak yang hanyut selepas tergelincir dalam longkang di Jalan Ukay Perdana, Ukay Ampang, Ampang, kelmarin.

AMPANG – Operasi mencari dan menyelamat (SAR) Muhammad Rizqullah Mohd. Shafie, 10, salah seorang daripada dua kanak-kanak yang tergelincir dan hanyut dalam sebuah longkang di Jalan Ukay Perdana, Ukay Ampang, masih lagi diteruskan hari ini.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Selangor (JBPM) Datuk Norazam Khamis berkata, memasuki hari ketiga, pencarian ditumpukan di kawasan mangsa pertama, Wan Muhammad Ammar Wan Mohd Noor Hafizan, 8, dijumpai.

Katanya, operasi tersebut juga diperluas sehingga ke pinggir Sungai Klang.

“Operasi malam tadi ditangguhkan pada pukul 7 malam ekoran cuaca buruk, namun diteruskan semula pada pukul 8 pagi tadi.

“Di hulu sungai, anggota telah membuat pencarian sehingga ke Kolam Tadahan Smart Tunnel. Pencarian juga dibuat dari kawasan mangsa mula-mula jatuh dibantu seekor unit anjing pengesan (K9).

“Bagaimanapun, pencarian lebih tertumpu di kawasan mangsa pertama dijumpai kerana terdapat runtuhan tebing di kawasan berkenaan,” katanya ketika dihubungi Kosmo!

Sementara itu, Pegawai Operasi Zon Hulu Langat, JPBM Selangor, Mohamad Akmal Mohamad Khairi ketika dihubungi berkata, operasi SAR hari ini dibantu seramai 44 anggota.

“27 anggota daripada JBPM manakala 17 anggota daripada lain-lain agensi,” katanya.

Kelmarin, Kosmo! melaporkan dua kanak-kanak hanyut selepas bermain berhampiran sebuah longkang di Jalan Ukay Perdana, Ukay Ampang.

Seorang mangsa berjaya ditemui namun meninggal dunia manakala seorang lagi masih hilang. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI