fbpx

Elok, sempurna bayi, kenapa buang?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Shariza menunjukkan lokasi bungkusan mengandungi mayat bayi perempuan yang diletakkan di pekarangan Masjid Kariah Sri Jemapoh. - Foto oleh NOR AINNA HAMZAH/KOSMO!

KUALA PILAH – Penduduk di Kampung Sri Jemapoh, di sini, terkejut apabila buat kali pertama dalam sejarah penempatan berkenaan kejadian buang bayi berlaku lebih-lebih lagi di masjid.

Lebih memilukan ialah apabila bayi perempuan yang dibuang di pekarangan Masjid Kariah Sri Jemapoh itu berada dalam keadaan elok, sempurna serta cukup sifatnya.

Menurut ahli jawatankuasa masjid, Shariza Sharif, 55, yang juga merupakan pesara tentera, kehadiran bungkusan itu disedari oleh tiga remaja yang sedang bergotong-royong membersihkan tembok masjid untuk kerja-kerja mengecat yang akan dijalankan dalam masa terdekat.

“Remaja ni sembur air paip ke tembok masjid sekitar pukul 3.30 petang dan tak lama selepas itu ternampak bungkusan di tepi sudut pagar masjid yang terletak berhampiran dengan pintu masuk. Sebaik melihat ke dalam bungkusan itu terdapat kotak.

“Bila dibuka mereka terkejut bila melihat mayat bayi di dalamnya. Mereka segera memaklumkan kepada bapa mereka dan satu laporan polis dibuat. Saya pun datang ke masjid pada waktu petang berkenaan setelah mendapat tahu ada bayi dibuang di masjid,” katanya ketika ditemui di Masjid Kariah Sri Jemapoh, di sini, hari ini

Ujar Shariza lagi, dia berasa kecewa dan kesal apabila bayi yang dalam keadaan elok dan sempurna seperti itu dibuang begitu sahaja sedangkan ramai lagi individu yang tidak berpeluang mempunyai anak menanti dikurniakan anak.

Menurutnya, lebih elok anak berkenaan diserahkan dalam keadaan baik kepada mana-mana pihak mahupun agensi dan bukan dalam keadaan seperti itu sudah tidak bernyawa.

“Sejak masjid ini didirikan pada tahun 1967, belum pernah lagi kejadian seperti ini berlaku dan kita harap agar pelakunya segera dapat dikesan,” katanya.

Media semalam melaporkan mayat seorang bayi perempuan ditemukan di perkarangan Masjid Kariah Kampung Sri Jemapoh, Juasseh, di sini, 4.35 petang semalam.- KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI