LUMUT – Seorang jururawat berdepan detik cemas apabila anak perempuannya berusia setahun terperangkap kira-kira 30 minit dalam kenderaan yang diparkir di rumahnya di Seri Manjung, dekat sini hari ini.
Difahamkan, kejadian berlaku ketika jururawat tersebut sedang bersiap untuk keluar bekerja di Klinik Kesihatan Pantai Remis yang terletak kira-kira 36 kilometer dari rumahnya.
Ketika beliau mahu membuka pintu pagar rumah untuk mengeluarkan Perodua Aruz itu, anaknya yang berada dalam kenderaan tersebut dipercayai tertekan kunci automatik yang mengunci semua pintunya.
Jurucakap Jabatan Bomba dan Penyelamat Perak, berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan pada pukul 9.31 pagi dan sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Seri Manjung bergegas ke lokasi kejadian.
“Ketika tiba, didapati seorang kanak-kanak perempuan berada dalam Perodua Aruz yang terkunci.
“Kanak-kanak tersebut bagaimanapun tidak menangis kerana ibunya dan jiran berjaya menenangkannya dengan cara mengacah dari luar kenderaan,” katanya di sini hari ini.
Menurut beliau, anggota pasukan berjaya membuka pintu kenderaan itu menggunakan peralatan khas dan membawa keluar kanak-kanak itu sebelum diserahkan kepada ibunya.
Beliau menjelaskan operasi yang diketuai Pegawai Bomba Kanan II Adde Noor Othman itu tamat sepenuhnya pada pukul 9.56 pagi. – KOSMO! ONLINE