SUBANG JAYA – Seorang lelaki dan wanita berjaya diberkas pihak polis setelah bertindak berani mati melakukan jenayah samun di sebuah rumah di kawasan USJ 9, Subang Jaya, dengan bersenjatakan parang, awal pagi semalam.
Ketua Polis Daerah Subang Jaya, Asisten Komisioner Wan Azlan Wan Mamat berkata, sepasukan polis dari Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK), Selangor bersama D9 Bahagian Siasatan Jenayah Subang Jaya telah membuat dua serbuan di kawasan Klang dan Kuala Langat malam tadi.
Susulan daripada itu, seorang suspek lelaki berumur 31 dan seorang suspek perempuan berumur 26 tahun telah berjaya ditahan.
“Ketika kejadian, suspek lelaki telah mengejutkan pengadu yang sedang tidur di bilik tingkat atas rumah serta mengacukan parang dan mengikat tangan pengadu dengan wayar pengecas telefon.
“Suspek turut mengikat tangan ayah pengadu dan membawa mereka turun ke tingkat bawah rumah. Suspek wanita kemudiannya mengikat pembantu rumah dengan wayar seterika di tingkat bawah.
“Barangan berharga seperti barang kemas, telefon bimbit dan wang tunai telah diambil. Anggaran kerugian keseluruhan berjumlah RM7,000,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Tambah Wan Azlan, hasil siasatan mendapati suspek memanjat tembok bahagian tepi rumah dan masuk melalui tingkap yang terbuka di tingkat atas.
Katanya, siasatan di tempat kejadian dibantu oleh Forensik IPK Selangor telah berjaya mengambil beberapa sampel swabbing untuk profiling bagi tujuan pengenalpastian identiti suspek.
Siasatan dijalankan di bawah Seksyen 395 / 397 KK (Akta 574) yang boleh memperuntukkan seksaan dengan penjara yang boleh sampai (20) tahun dan juga boleh dikenakan sebatan.
Dalam pada itu, antara barang yang dirampas adalah sebuah kereta, dua unit telefon bimbit, sebuah unit tablet, pakaian, dokumen diri dan beg yang berkaitan dengan kes ini.
Ujarnya, hasil daripada tangkapan dan rampasan ini, satu kes samun bersenjatakan parang dan satu kes pecah rumah berjaya diselesaikan.
“Soal siasat akan dijalankan, pihak polis percaya suspek terlibat dengan kes-kes lain. Permohonan reman di bawah Seksyen 117 Kanun Tatacara Jenayah akan dipohon bagi tujuan siasatan lanjut,” ujarnya.
“Orang ramai yang mempunyai maklumat lanjut dinasihati agar tampil memberikan kerjasama melalui nombor telefon 03-78627100 (Pusat kawalan daerah, Subang Jaya) atau Pegawai Penyiasat, Inspektor Anthony John A/L Sandanadas di talian 016-2093470. Segala identiti pemberi maklumat akan dirahsiakan,” katanya. – KOSMO! ONLINE