KUALA LUMPUR – Menang besar pada Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37), penyanyi Aina Abdul mendedahkan persembahan yang memaparkan elemen gumpalan awan serba putih menelan kos sebanyak RM90,000 secara keseluruhannya.
Kata Aina atau nama sebenarnya, Nurul Aina Abdul Ghani, kos tersebut merangkumi props awan, busana atau persalinan dan segala apa yang berlaku di atas pentas berprestij untuk persembahan Terus Hidup.
“Untuk AJL37 ini, saya tak nafikan memang saya berhabis banyak tapi tak tahulah saya rasa macam ada naluri macam lagu Terus Hidup satu karya yang sangat istimewa dalam hidup saya.
“Jadi, betul saya berbelanja agak banyak dan persiapan hari ini (malam tadi) termasuk baju, awan dan segalanya yang kalian lihat.
“Saya inginkan hasil sesuatu yang berbaloi. Jadi saya tahu saya kena ‘invest’ (labur wang) untuk diri saya. Untuk keluarga Aina Abdul Entertainment.
“Saya membawa semangat ‘team’ saya yang ramai iaitu 30 orang. Dalam karier, saya dah diberi rezeki dan ada ruang untuk ‘invest’ dalam persembahan. Sebab itulah, saya sanggup berhabis. Saya iyekan sahajalah, puluhan ribu (RM80,000-RM90,000),” katanya kepada Kosmo! Online, malam tadi.
Bercerita tentang konsep persembahan awan serba putih yang membuatkan ramai terpukau, pelantun lagu Sumpah itu memaklumkan, tema tersebut mendapat inspirasi ketika dirinya menaiki kapal terbang atas urusan kerja dan sebuah dedikasi buat Allahyarham bapa, Abdul Ghani Abdullah.
“Saya terpanggil untuk adakan tema awan kerana tahun lepas, saya dapat banyak peluang untuk ‘work travel’ (bekerja sambil melancong).
“Waktu sendiri saya kurang jadi banyak ‘me time’ di atas kapal terbang. Jadi, ada penerbangan yang lancar ada juga yang bergelora.
“Saya pula jenis orang yang duduk ‘window seat’ setiap penerbangan. Banyak ada rakaman video awan dalam telefon saya.
“Saya ingin visualkan lagu Terus Hidup dengan konsep persembahan seperti yang kalian lihat sebab saya ingin dedikasikan lagu Terus Hidup untuk Allahyarham bapa saya yang dah pergi meninggalkan kita.
“Jadi, saya mengganggap beliau itu (bapa) adalah awan. Bila akhir persembahan, anggap sahajalah itu awan yang berguguran kerana motif kita awan dan ia sangat simbolik juga untuk saya katakan adakah itu salji. Apa yang saya cuba sampaikan, pada akhir persembahan ibaratnya, sebutir (atau seorang) awan itu, sedang meninggalkan saya buat selama-lamanya,” jelasnya.
Malam tadi, Aina melakar sejarah tersendiri apabila lagu Terus Hidup nyanyian dan ciptaannya mengungguli AJL37 apabila dinobatkan sebagai tempat pertama selain membawa pulang trofi Vokal Terbaik dengan hadiah wang tunai bernilai RM12,000.
Kemenangan lagu ciptaan sepenuhnya Aina itu sekali gus melayakkan penyanyi itu membawa pulang hadiah berupa wang tunai sebanyak RM100,000 menjadikan semuanya RM112,000 berserta trofi.
Naib juara AJL37 menjadi milik lagu Satu Malam Di Temasek nyanyian Sonaone dan Joe Flizzow yang dicipta sepenuhnya oleh kedua-dua penyanyi itu.
Sementara itu, tempat ketiga dimenangi Alif Satar & The Locos menerusi lagu Anugerah Terindah.
Bagi kategori persembahan terbaik pula, hasil daripada undian penonton dan perjurian membuahkan rezeki buat penyanyi Shiha Zikir yang menyampaikan lagu Irama. – KOSMO! ONLI