PETALING JAYA – Kerja keras Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) berjaya membawa keluar tujuh mayat terperangkap di dalam runtuhan bangunan susulan tragedi gempa bumi Turkiye yang meragut nyawa puluhan ribu orang.
Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) menerusi Facebooknya berkata, operasi yang dijalankan semalam berjaya mengeluarkan tujuh mayat yang ditemui sepanjang misi mencari dan menyelamat (SAR) di sekitar Nurdagi, Gaziantep.
Katanya, mangsa ditemui dan dikeluarkan pasukan Charlie 01 dan Delta 01 dari pasukan penyelamat kedua Malaysia (MAS-10) pada pukul 5.55 petang waktu tempatan.
“Kami berjaya mengeluarkan sebanyak tiga perempuan, dua lelaki dewasa, dan seorang kanak-kanak perempuan.
“Bagaimanapun, atas faktor keselamatan pasukan, operasi mencari dan menyelamat (SAR) ditangguhkan pada pukul 7.50 petang, berikutan cuaca yang juga semakin sejuk,” katanya
Semalam, SMART berjaya mengeluarkan lima lagi mangsa maut dari runtuhan di Nurdagi menggunakan peralatan khas dan penggunaan jengkaut dengan kaedah memotong dan memecah.
Kelima-lima mangsa tersebut melibatkan seorang kanak-kanak, tiga wanita dan seorang lelaki dewasa.
Namun begitu, cabaran yang mereka hadapi adalah terdapat gegaran susulan kecil berlaku memaksa operasi dihentikan.-KOSMO! ONLINE