KUALA LUMPUR – Demi merealisasikan konsep persembahannya untuk lagu Irama pada pentas Anugerah Juara Lagu ke-37 (AJL37) malam tadi, penyanyi Shiha Zikir sanggup mengeluarkan kos sebanyak lebih RM100,000 melibatkan penggunaan lampu laser berharga puluhan ribu ringgit.
Pelaburan tinggi tersebut berbaloi buat Shiha yang berpuas hati membawa pulang kategori Persembahan Terbaik pada acara yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil.
“Saya sangat berpuas hati dengan kemenangan ini. Tahniah kepada mereka yang terlibat di belakang pentas. Apa yang penonton lihat di atas pentas itu sebenarnya melibatkan kos yang sangat besar bagi saya.
“Kami sanggup laburkan untuk kepuasan sendiri. Sebenarnya kos yang besar ini melibatkan penggunaan lampu laser. Sebuah lampu laser sahaja melibatkan kos puluhan ribu dan saya guna lapan lampu laser,” katanya yang turut berhabis puluhan ribu ringgit pada minggu Separuh Akhir Muzik-Muzik tahun lalu.
Kata penyanyi berusia 36 tahun itu, dia tidak mahu kedekut mengeluarkan bajet dan sekadar ‘asal boleh’ kerana peluang membuat persembahan di pentas besar AJL tidak selalunya hadir.
“Saya tidak mahu buat sekadar boleh sebab pentas AJL merupakan acara berprestij. Inilah tanda saya mahu ucapkan terima kasih kepada peminat yang mengundi lagu Irama dalam Muzik-Muzik,” jelasnya yang membawa pulang wang tunai RM12,000 berserta trofi.
Berkongsi keadaannya ketika berada di atas pentas, Shiha berkata, dia hampir terbatuk sewaktu menyanyi kerana tekak tiba-tiba menjadi kering disebabkan asap tebal.
“Saya nak kongsi sikit apa yang berlaku di atas pentas. Sewaktu masuk rangkap kedua, saya hampir terbatuk sebenarnya sebab asap tebal dan tiba-tiba tekak saya kering.
“Seperti yang saya kongsikan sebelum ini, keadaan kesihatan saya masih belum pulih. Saya hampir-hampir tarik diri dan cari penyanyi lain untuk gantikan saya.
“Tapi saya teruskan untuk buat persembahan dengan bergantung pada ubat yang kuat. Alhamdulillah semuanya berjalan lancar dan saya sangat gembira,” jelasnya.
AJL37 yang berlangsung di Axiata Arena, Bukit Jalil malam tadi menyaksikan penyanyi Aina Abdul membawa pulang trofi dan wang tunai RM100,000 selepas mengungguli lagu terbaik menerusi karya Terus Hidup.
Aina turut membawa pulang trofi dan wang tunai RM12,000 menerusi kategori Vokal Terbaik.
Tempat kedua pula menjadi milik lagu Satu Malam Di Temasek nyanyian SonaOne dan Joe Flizzow dengan membawa pulang trofi dan wang tunai RM50,000.
Lagu yang memenangi tempat ketika pula menjadi milik Anugerah Terindah nyanyian Alif Satar & The Locos dengan membawa pulang wang tunai RM30,000 berserta trofi. – KOSMO! ONLINE