KUALA LUMPUR – Bukan Aina Abdul namanya jika tidak tampil dengan persembahan kuasa vokal dan penampilan uniknya.
Malam ini, satu Axiata Arena, Bukit Jalil bermandi ‘salji’ usai penyanyi mendendangkan karya Terus Hidup, sebentar tadi.
Membawa tema salju atas pentas serba putih, Aina atau nama sebenarnya, Nurul Aina Abdul Ghani membuatkan audiens terpaku dengan persembahan cemerlang dan pentas memukau.
Penyanyi berusia 30 tahun itu tampil ‘suci’ dengan busana ropol-ropol serba putih bagaikan ratu salju.
“Effort yang Aina letakkan dalam busana, pentas dan kualiti vokal sangat luar biasa,” ciap seorang pengguna Twitter.
“Tolong bagi Aina trofi pemenang! Persembahan pentas dan vokal. Chef kiss (sempurna),” tulis netizen lain.
Menyaksikan kesungguhan dan usaha Aina, ramai meramalkan penyanyi yang sinonim dengan gaya avant garde itu bakal memenangi sesuatu termasuk memberi saingan Vokal Terbaik kepada Ernie Zakri dan Persembahan Terbaik.
Selain Aina, seramai 11 finalis berentap antaranya Alif Satar & The Locos mempertaruhkan lagu Anugerah Terindah ciptaannya bersama Romeo, Tam Cobain, Arwis/lirik Alif, Shah Shamshiri dan Romeo.
Lagu lain yang bertanding termasuklah Korban (Ernie Zakri), Bahagiakan Dia ( Shila Amzah dan Liza Hanim).
Turut bersaing, Suatu Malam Di Temasek dendangan Joe Flizzow dan SonaOne ciptaan SonaOne dengan lirik dihasilkan SonaOne dan Joe Flizzow; Debu (Dayang Nurfaizah, Amir Masdi/ciptaan Mas Dewangga, Jova Devito, Firdaus Rahmat, Mike Chan, Karim Karam, Acap Salim).
Sementara itu, pentas AJL37 akan digamatkan dengan saingan Kembali Terang (Marsha Milan/ciptaan Senna dan Ajin/lirik Senna); Nang (Iman Troye/ciptaan Ezra Kong dan A Ramle) serta Payung Pelangi (Noki, MK/ciptaan dan lirik Noki, MK).
Tidak ketinggalan, Sengsara (Khai Bahar/ciptaan Johm Reeves, Firdaus Rahmat dan Omar K); Irama (Shiha Zikir/ciptaan Qie Hugh, Firdaus Rahmat dan John Jeeves) dan Mainan (Naim Daniel/ciptaan Firdaus Rahmat, Omar K dan Mas Dewangga/lirik Arizs Ab Rahman). – KOSMO! ONLINE