LANGKAWI – Pulau Langkawi disasarkan menerima pelaburan baharu bernilai RM1 bilion pada tahun ini membabitkan pelbagai sektor komersial termasuk pembinaan hotel bertaraf empat dan lima bintang.
Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Sektor Perancangan Dan Pembangunan) Lembaga Pembangunan Langkawi (LADA), Wan Kamarul Faisal Wan Kamardin berkata, antara sektor lain adalah produk eko-pelancongan dan pusat beli-belah.
Katanya, pihaknya mengalu-alukan pelbagai jenis bentuk pelaburan ke pulau peranginan tersebut.
“Pulau ini mencatatkan pelaburan daripada sektor pelancongan yang bernilai RM1.8 bilion pada 2022 berbanding RM1.2 bilion pada 2021.
“Walaupun pertumbuhan ekonomi tersebut dilihat agak perlahan, namun nilai pelaburan yang masuk ke pulau ini masih positif berikutan fasa pemulihan ekonomi pasca Covid-19,” katanya pada sidang akhbar selepas program Langkawi Invest Day di sini hari ini.
Menurut beliau, pelaburan baharu yang berimpak tinggi seperti pelaburan berasaskan pelancongan kesihatan seperti hospital pakar atau pusat kesihatan amat diperlukan bagi menjadikan Langkawi hab pelancongan perubatan di negara ini.
Selain itu, katanya, pelaburan dalam bidang pendidikan juga mempunyai potensi besar untuk dibangunkan dengan mewujudkan universiti atau kolej antarabangsa bagi meletakkan pulau ini sebagai hab pendidikan. – KOSMO! ONLINE