ANKARA – Kanak-kanak ketawa semasa bermain dengan mengharungi laluan berhalangan, melompat di atas bongkah kayu dan melalui terowong, dengan pemandangan menggembirakan itu mungkin disalah anggap sebagai hari-hari biasa di Taman Cumhuriyet, bandar Adana, Turkiye.
Hakikatnya, mereka dibantu oleh pekerja sokongan psiko-sosial dari Kementerian Keluarga dan Perkhidmatan Sosial Turkiye untuk menghadapi trauma pasca gempa bumi, lapor akhbar Daily Mirror.
“Kami cuba membantu kanak-kanak melupakan apa yang berlaku dan menyediakan tempat untuk mereka berkawan.
“Kami cuba menjelaskan kepada mereka bahawa Turkiye adalah zon gempa bumi dan mengajar mereka untuk terus hidup,” kata seorang ahli sosiologi, Mihrac Erbova.
Taman itu menjadi lokasi kem untuk penduduk yang kehilangan tempat tinggal serta mereka yang takut untuk pulang sekiranya gempa bumi berlaku sekali lagi.
Salah seorang mangsa, Yildiz Akkose, 29, tinggal di dalam khemah bersama dua anak perempuannya, Gulten yang berusia enam tahun dan Elif, 5.
Dia tidak tahu ke mana mereka harus pergi tetapi tetap bersyukur kerana boleh mengakses makanan dan tandas, tidak seperti bandar lain yang terjejas teruk.
Ibu muda itu bagaimanapun dihantui oleh imbasan peristiwa ketika orang ramai dihempap oleh rumah mereka yang runtuh.
“Saya melihat orang mati tanpa mempunyai wajah dan mayat dimasukkan ke dalam beg. Apabila tidur, saya melihat detik-detik itu lagi,” jelas Akkose.
Bazar Sosyete Pazari di seberang jalan itu biasanya penuh dengan gerai, namun berubah menjadi kem bantuan yang dipenuhi dengan khemah. Di pintu masuk, mangsa dilihat memilih pakaian dan peralatan mandi yang diedarkan.
Selain itu, bekalan makanan turut disediakan di penempatan tersebut termasuk gerai yang menyediakan sup, pasta, nasi dan makanan rebus di samping trak menawarkan kemudahan pancuran mandian dan dobi. – Agensi