SHAH ALAM- Dewan Perniagaan dan Keusahawanan Selangor (Depenksel) mengambil peranan sebagai pusat sehenti bagi golongan peniaga dan penjaja mendapatkan keperluan mereka dengan lebih mudah dan terjamin.
Untuk mencapai misi tersebut, satu perjanjian usaha sama antara Depenksel dan JW Equipment Sdn. Bhd.yang mana satu Syarikat Tujuan Khas (SPV) yang
bernama Rangkaian DPU Sdn.Bhd. telah dibentuk bagi mengendali program tersebut.
Kedua-dua entiti berkenaan mempunyai pegangan masing-masing di dalam SPV tersebut.
Presiden Depenksel, Datuk Anowar Che Omar berkata, secara dasarnya, program tersebut berfungsi untuk mempromosikan barang kelengkapan keperluan peniaga dari kilang JW Equipment kepada golongan peniaga dan penjaja di negeri itu.
“Depenksel berperanan sebagai pusat sehenti dalam menyediakan semua kelengkapan yang diperlukan oleh peniaga dan penjaja termasuk peralatan seperti khemah perniagaan dan alatan lain pada harga yang lebih berpatutan serta jaminan kualliti terbaik.
“Jadi apabila peniaga dan penjaja memerlukan apa saja berkaitan keperluan alatan perniagaan mereka tidak perlu pening atau tercari-cari sebaliknya boleh mendapatkannya melalui Depenksel,”katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas majlis perjanjian usaha sama tersebut di sini baru-baru ini.
Anowar menjelaskan, program tersebut memanfaatkan segala sumber dan menggunakan jaringan strategik tersedia di samping meneroka peluang- peluang baharu bagi memastikan pembangunan dapat direalisasikan demi kesejahteraan rakyat.
Mengulas lanjut Anowar berkata, program berkenaan akan bermula di Selangor sebagai permulaan dan akan dilanjutkan ke negeri-negeri lain secara berperingkat. -KOSMO!ONLINE