SAINGAN Kejuaraan Motosikal Dunia (MotoGP) sentiasa tampil dengan aksi dan saingan sengit serta mendebarkan saban tahun biarpun Marq Marquez memenangi kejuaraan dunia sebanyak enam kali dalam tempoh tujuh tahun kebelakangan ini.
Bagaimanapun, musim ini agak berbeza apabila pandemik Covid-19 yang sedang mengancam dunia selain masalah kecederaan yang menimpa Marquez selepas terlibat dalam kemalangan pada aksi pertama Grand Prix Sepanyol di Litar Jerez menyaksikan saingan terbuka dan lebih sengit.
Sebelum ini, saingan lebih tertumpu antara pelumba Sepanyol itu dan beberapa pelumba lain daripada pasukan pengeluar seperti Andrea Dovizioso (Ducati), Maverick Vinales dan Valentino Rossi dari Yamaha, namun ia seakan berubah 360 darjah.
Musim ini, pelumba Suzuki Ecstar, Joan Mir, pelumba Petronas Yamaha Sepang Racing Team (SRT), Fabio Quartararo dan Vinales masing-masing berpeluang untuk memburu kejuaraan dunia apabila jumlah mata yang dikumpul tidak menunjukkan jurang yang ketara.
Sesetengah peminat menganggap ketiadaan Marquez mengurangkan kehangatan saingan berkenaan tetapi sebahagiannya berpendapat bahawa ia membuka peluang serta menjadikan perlumbaan lebih menarik untuk disaksikan kerana ia sukar untuk dijangka.
Anda sentiasa menanti-nanti siapakah yang berjaya meraih petak pertama pada sesi kelayakan, manakala mereka yang memulakan perlumbaan di kedudukan paling hadapan belum pasti mampu untuk menjuarai perlumbaan sebenar.
Bagi peminat Marquez dan Repsol Honda, mereka percaya pasukan seperti Petronas SRT, Ducati, Suzuki dan Yamaha ketika ini belum benar-benar teruji dan hanya bersaing dalam saingan kelas ‘kedua’ ekoran ketiadaan pelumba berusia 27 tahun itu yang mengalami kecederaan patah tangan.
Bagaimanapun, ia adalah satu pandangan yang kurang tepat kerana saingan ketika ini dianggap cukup kompetitif kerana hampir setiap perlumbaan kita akan menyaksikan pelumba yang berbeza menjejaki podium.
Kita mungkin tidak mengenali pelumba seperti Brad Binder, Pol Espargaro, Alex Rins ataupun Joan Mir sebelum ini tetapi mereka telah membuktikan keupayaan kerana berjaya meraih podium masing-masing dalam 10 perlumbaan yang telah berlangsung.
Adakah ia hanya kebetulan kerana ketiadaan Marquez? Penulis tidak fikir demikian kerana kesemua mereka adalah pelumba yang sangat berbakat dan berpotensi untuk menjadikan saingan MotoGP lebih meriah selepas ini.
Kejayaan beberapa pasukan seperti Suzuki, KTM dan Petronas Yamaha SRT menghasilkan jentera yang semakin mantap, jika Marquez ada sekali pun, ia bukan lagi satu saingan mudah lagi untuk dia kuasai.
Kecederaan yang dialami hingga menyebabkan dia terpaksa berehat hampir sepanjang musim ini bukan perkembangan yang baik untuk pelumba Sepanyol itu kembali dengan mendabik dada sambil menyatakan keyakinan bahawa dia akan mampu menguasai perlumbaan musim depan dan berikutnya.