SAUDARA PENGARANG,
Masih ramai yang hilang kerja dan sukar mendapat pekerjaan baharu kerana faktor usia. Natijahnya ramai yang tertekan mental dan kemurungan.
Kes bunuh diri di negara ini juga meningkat sebanyak 81 peratus pada 2021, manakala sehingga Jun 2022, sebanyak 467 kes bunuh diri dilaporkan.
Antara faktor penyumbang termasuk isu kewangan akibat kehilangan sumber pendapatan atau pekerjaan serta penyakit mental termasuk kemurungan.
Tegarkah kita untuk terus membutakan mata dan memekakkan telinga terhadap semua kesulitan yang rakyat hadapi? Luahan demi luahan sudah lama tersiar sama ada di media cetak atau media sosial, namun ia umpama mencurahkan air ke daun keladi.
Apakah hal ehwal rakyat yang cemas seperti ini pun masih perlu menunggu usul untuk dibawa di Parlimen?
Nasib baiklah masih ada individu dan pertubuhan yang sangat prihatin dengan nasib mereka yang sentiasa mencari jalan penyelesaian membantu rakyat keluar daripada segala macam kesulitan hidup.
Hati mereka lebih dekat dengan rakyat walaupun mereka bukanlah wakil rakyat. Mereka juga bukanlah ada kuasa politik, mereka hanyalah insan biasa yang peka dan menyelami kesusahan serta penderitaan rakyat.
Rakyat yang sedang bergelut dengan kesulitan hidup tidak minta dibantu dengan menggunakan wang cukai rakyat, mereka hanya perlukan duit Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP).
Luluskanlah pengeluaran untuk pencarum yang banyak simpanan dan benar-benar terdesak.
Ramai yang kehilangan pekerjaan, tetapi miliki banyak simpanan dalam KWSP, namun masih terpaksa mengemis ke sana ke mari, berhutang, meminta bantuan zakat dan Baitulmal hanya kerana wang simpanan mereka tidak dapat dikeluarkan.
ZM SALLEH
Terengganu