PENGALAMAN lalu nyata memberi kelebihan buat Nor Azlina Ibrahim untuk muncul sebagai johan qariah Tilawah Al-Quran Peringkat Daerah Kuala Nerus, Terengganu buat kali kedua baru-baru ini.
Berbekalkan pengalaman dan aktif menyertai pertandingan tilawah al-Quran sejak di bangku sekolah rendah, Nor Azlina, 23, mampu muncul johan walaupun hanya berlatih selama dua hari menjelang pertandingan.
Ekoran kejayaan tersebut, Azlina yang juga pelajar tahun ketiga Ijazah Sarjana Muda Pengajian Islam (Dakwah), Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) membawa pulang wang tunai RM2,000, piala pusingan dan sijil. Dia sebelum ini pernah menjuarainya pada tahun 2019.
Anak tunggal berasal dari Kajang, Selangor itu berkata, meskipun sudah beberapa kali bergelar johan, namun kemenangan kali kedua baru-baru ini tidak dijangkanya kerana saingan sengit daripada empat peserta lain.
“Alhamdulillah, saya bersyukur kepada Allah SWT dan tidak sangka mendapat johan kerana saya baca dalam keadaan kurang sihat iaitu dalam keadaan demam, batuk, sakit tekak dan selsema.
“Paling tidak disangka-sangka, saya hanya sempat berlatih selama dua hari berbekalkan sedikit pengetahuan taranum (bacaan berlagu al-Quran) yang ada selain pengalaman memasuki pertandingan sebelumnya,” katanya.
Ditanya mengenai wang tunai yang diperoleh, Nor Azlina berkata, hadiah kemenangan RM2,000 tersebut mahu disimpan untuk kegunaan masa hadapan seperti kos menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi kelak.
Berkongsi cabaran lain, Nor Azlina berkata, dia juga perlu berpantang dengan tidak boleh minum minuman berais dan makanan yang terlalu berminyak atau pedas dalam proses menjaga suara.
Selain itu, katanya, dia juga perlu menyusun taranum sendiri pada surah yang ditentukan selama dua hari sahaja berdasarkan ilmu taranum yang sedia ada.
“Ia mencabar kerana bukan mudah untuk menyusun lagu kerana perlu diselarikan dengan tajwid, fasahah dan waqaf ibtidak,” tuturnya lagi.
Tambah Nor Azlina lagi, dia semakin meminati bidang taranum sejak ustazahnya, Nor Ruzana Natiah Jaafar mengajarnya taranum untuk pertandingan tilawah al-Quran ketika di bangku sekolah menengah lagi.
“Bagi pendedahan kepada al-Quran pula, saya memang telah didedahkan dan dididik sejak berusia empat tahun dan berjaya khatam al-Quran pada usia enam tahun,” katanya.
Mengenai perancangan selepas ini, anak tunggal dalam keluarga ini berkata, dia akan terus dan sentiasa aktif menyertai pertandingan tilawah al-Quran selagi mana diberikan peluang serta ruang.
“Kalau ikut perancangan, saya ada merancang untuk menyambung pelajaran ke peringkat sarjana tetapi sebelum itu mahu bekerja dulu bagi membantu ibu ayah dengan menjadi guru Al-Quran.
“Mengenai pandangan saya terhadap bidang ini juga, saya lihat ia semakin diterima baik dalam kalangan masyarakat terutamanya anak muda apabila mereka mula menunjukkan minat terhadap taranum.
“Saya berharap lebih ramai masyarakat terutamanya anak muda dapat memartabatkan al-Quran dalam kehidupan dan salah satu caranya adalah dengan mempelajari taranum,” katanya.