fbpx

Pasukan QRT optima operasi pintu masuk Malaysia-Singapura

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
KHAIRUL DZAIMEE (kanan) menyaksikan pengembara Singapura menggunakan laluan 'autogate' di Bangunan Sultan Iskandar, Johor Bahru hari ini.

JOHOR BAHRU – Penubuhan Pasukan Khas Tindak Cepat (QRT) yang diletakkan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) di Bangunan Sultan Iskandar (BSI), di sini dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB), Gelang Patah berjaya meningkatkan keupayaan perkhidmatan pemeriksaan Imigresen di kedua-dua pintu masuk negara itu.

Ketua Pengarah Imigresen, Datuk Seri Khairul Dzaimee Daud berkata, penugasan QRT itu membolehkan perkhidmatan jabatan dioptimakan di waktu puncak seterusnya mengatasi masalah kesesakan di kawasan terbabit.

“Sebelum wujudnya QRT, jumlah kereta yang boleh diuruskan kemasukan dan diselesaikan pengesahan dokumennya dalam masa satu jam ialah 1,400.

“Setelah ditubuhkan QRT, jumlah itu meningkat sebanyak antara 900 hingga 1,000 kereta dengan syarat tiada masalah daripada segi urusan Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) ataupun baki Touch N’ Go mereka tidak mencukupi.

“Dengan adanya QRT, kesemua kaunter pemeriksaan dapat dibuka, hasilnya sebanyak 2,300 buah kereta boleh diselesaikan dalam masa satu jam berbanding sebelum ini sekali gus melancarkan pergerakan,” katanya ketika ditemui selepas melakukan tinjauan di laluan kereta dan penumpang bas di CIQ BSI, di sini hari ini.

Dalam pada itu, Khairul Dzaimee berkata, penugasan pasukan QRT yang dipinjamkan dari bahagian lain dalam jabatan turut memberi impak kepada pergerakan laluan pengembara yang menaiki bas.

“Dengan adanya QRT ini, kami mengambil masa lebih kurang tiga jam untuk menyelesaikan kesemua 3,200 pengunjung. Mereka hanya perlu menunggu antara 12 hingga 15 minit,” katanya.

Katanya, susulan kejayaan penugasan QRT itu, pihaknya kini dalam proses mengaktifkan pasukan tersebut di pintu sempadan di Bukit Kayu Hitam, Kedah dan Sungai Tujuh, Sarawak, menjelang hujung bulan ini. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI