PETALING JAYA – Kembali aktif selepas sembuh dan bergelar isteri orang, pelakon popular Nad Zainal memilih pendekatan untuk enggan ditemu bual media jika tidak ditemani suami tercinta.
Dalam pertemuan pertama Nad bersama media selepas dua detik penting dalam hidupnya, keluar hospital dan dinikahi pelakon Ungku Ismail, Nad berkata, suami tidak mengizinkan dirinya memberikan sebarang kenyataan secara bersendirian.
Kata pelakon Dendam Seorang Isteri itu, mereka sebaliknya akan menjawab sebarang isu menerusi video atau sesi siaran langsung dalam media sosial.
“Saya akan menjawab segala persoalan dan akan memberi pencerahan kepada rakan media. Ada perkara yang saya tidak boleh kongsikan.
“Dalam video itu nanti, saya dan suami (Ungku) akan jelaskan. Kalau boleh sebarang kenyataan saya mahu lakukan bersama suami. Kalau dia (suami) tiada, saya tidak mahu bercakap.
“Kami sudah buat perjanjian untuk menjelaskan segala persoalan bersama-sama,” katanya ketika ditemui di lokasi penggambaran drama bertajuk Mendarat Di Syurga di Petaling, Jaya.
Ketika disoal tentang tindakannya memilih media sosial sebagai platform memberikan penjelasan, pelakon berusia 33 tahun itu juga enggan memberikan sebarang komen tentang perkara tersebut.
“No Comment for now (tiada komen buat masa ini),” jelasnya ketika ditemui sekitar 10 wakil pelbagai organisasi media di Petaling Jaya.
Terdahulu, pelakon Cina Buta itu masih mengunci mulut berhubung perkahwinan mengejutnya, isu dana rawatan ketika dimasukkan ke hospital serta dakwaan perang dingin bersama beberapa selebriti.
Sebelum ini, selepas lebih sebulan keluar wad hospital akibat pendarahan paru-paru, Nad mengumumkan selamat mendirikan rumah tangga bersama Ungku pada 29 Januari. Pengumuman tersebut dibuat selepas hampir seminggu bernikah pada 23 Januari lalu.
Nad pada September tahun lalu mengejutkan ramai apabila mengakui sah cerai bercerai dengan Muhammad Faliq Amiruddin yang dikahwini sejak 18 September 2015.
Sepanjang perkongsian hidup, mereka dikurniakan dua cahaya mata, Fahad Ibrahim, 7, dan Budi Kalsom, 2. – KOSMO! ONLINE