AMPANG – “Tidak sempat tunaikan permintaan anak untuk pergi melancong.”
Itulah luahan Nuraini Ibrahim, 38, ibu kepada Muhammad Rizqullah Mohd. Shafie, 10, salah seorang daripada dua kanak-kanak yang tergelincir dan hanyut dalam sebuah longkang di Jalan Ukay Perdana, Ukay Ampang, di sini, petang semalam.
Jelasnya yang bekerja di sebuah kedai makan, Muhammad Rizqullah ada mengajak dirinya dan suami untuk pergi bercuti namun tidak sempat menunaikan permintaan anak keempat daripada lima adik beradik itu.
“Kali terakhir saya jumpa semasa dia pergi sekolah pada Jumaat lepas dengan menaiki van untuk ke sekolah sesi petang.
“Saya sempat berbual dengan Muhammad Rizqullah dan perasan dia kerap diam kebelakangan ini.
“Dia sempat mengajak saya dan sekeluarga untuk pergi bercuti namun saya tidak dapat tunaikan permintaannya itu. Dia memang suka kalau kami bawa pergi berjalan-jalan,” kata Nuraini ketika ditemui Kosmo!
Tambah Nuraini, dia berdoa agar anaknya segera ditemukan walaupun sudah lagi tidak bernyawa.
Semalam, mangsa pertama, Wan Muhammad Ammar Wan Mohd. Noor Hafizan, 8, ditemui maut kira kira 200 meter dari lokasi kejadian manakala mangsa kedua masih belum ditemui setakat ini. – KOSMO! ONLINE