fbpx

Baru enam hari kahwin, suami maut langgar lubang jalan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
GAMBAR kenangan perkahwinan mangsa dan isteri bersama ahli keluarga di Dewan Orang Ramai Chenor di Maran pada 4 Februari lalu.

TEMERLOH – Kebahagian sepasang suami isteri yang baharu memulakan episod baharu alam perkahwinan direntap selepas si suami maut dalam kemalangan dipercayai selepas melanggar lubang jalan.

Baru enam hari bergelar isteri dan menikmati detik manis sebagai pengantin baharu, namun, Azimah Zahari, 31, harus akur dengan ketentuan Ilahi apabila suami tercinta ‘dijemput pulang’.

Suaminya, Hairul Hafizi Mursid, 34, meninggal dunia selepas motosikal yang ditungganginya dipercayai melanggar lubang dan terjatuh di Jalan Temerloh-Jerantut berhampiran Kampung Lubuk Kawah di sini kira-kira pukul 10 malam kelmarin.

Menurut Azimah, kejadian itu berlaku semasa mereka dalam perjalanan pulang dari tempat kerja mereka di Pasaraya Cowboy Temerloh ke rumah mereka di Felda Jengka 17, Maran.

“Selalunya kami pergi dan balik kerja bersama, samada naik motosikal atau kereta tetapi, semalam (Jumaat), kami naik berasingan. Suami naik motosikal sebab katanya nak ‘service’ motosikal.

“Dalam perjalanan balik malam tu, saya ikut rapat belakang suami dengan kereta. Cuma bila tiba dekat dengan lokasi kejadian, saya agak ke belakang sedikit sebab keadaan jalan berselekoh dan berbukit.

“Saya melepasi tempat suami terjatuh, tetapi saya pusing semula sebab saya kenal dengan warna motosikal itu dan memang tak sangka, suami saya yang terjatuh terlanggar lubang,” katanya di sini hari ini.

Tambah Azimah, dia memanggil suaminya, namun tiada sahutan kerana suaminya dalam keadaan separuh sedar dan sedang mengerang kesakitan.

Katanya, orang awam yang berada di lokasi membantu menghubungi pihak Angkatan Pertahanan Awam (APM) dan menghantar mangsa ke Hospital Sultan Haji Ahmad Shah (Hoshas).

“Bila tiba di sana (Hoshas), saya terus mendaftarkan nama suami tetapi selepas lima atau 10 minit selepas itu, doktor panggil saya dan maklum, suami saya sudah meninggal dunia.

“Lepas doktor cakap macam tu, saya betul-betul terkejut, tergamam, macam tak percaya benda ini boleh berlaku. Ada juga saya rasa ralat sangat. Kalau saya tahu akan berlaku macam ni, saya takkan benarkan suami naik motosikal.

“Walaupun dia dah tiada, tetapi saya tetap anggap dia masih ada di sisi saya, banyak kenangan bersama suami sejak awal perkenalan dalam tempoh tujuh tahun,” ujarnya.

Katanya, sepanjang tempoh perkenalan sejak dari tahun 2016 di lokasi bekerja, suaminya yang merupakan anak bongsu daripada empat beradik itu adalah seorang yang pendiam tetapi periang dan selalu tersenyum.

Dalam pada itu, jenazah Khairul Hafizi telah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Bunian, Chenor kira-kira pukul 4 petang semalam.

Selain itu, Azimah berkata, dia yang sering menggunakan laluan berkenaan mendapati jalan di situ selalu ada air dan licin selain berlubang.

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Temerloh Asisten Komisioner Mohd Azhar Mohd. Yusoff mengesahkan kejadian kemalangan dan memaklumkan siasatan sedang dilakukan pihak polis. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI